Rangkaian tayar prestasi tinggi Goodyear Eagle F1 tiba di Malaysia

2193

Goodyear Malaysia telah mengumumkan tambahan terbaharu kepada keluarga Eagle F1, iaitu SuperSport RS, SuperSport R, SuperSport, Asymmetric 5 dan Asymmetric 3 SUV.

Eagle F1 SuperSport



Eagle F1 SuperSport telah dibangungkan untuk cengkaman dan pengendalian lebih baik di jalan. Ia menggunakan bahan berbentuk U yang menjadi power zone untuk memberikan pengendalian tiada tandingan di permukaan kering atau basah.

Tayar ini akan menjadi pesaing terus kepada Michelin Pilot Sport 4 S, dan ditawarkan dalam saiz 18 hingga 21 inci, lebar 205 hingga 305 dan siri 45 hingga 30. Ia ideal untuk kenderaan seperti Volkswagen Golf GTi, BMW M3 dan Mercedes-AMG C63.

Eagle F1 SuperSport R

Tayar ini mempunyai prestasi yang lebih baik dari segi cengkaman, ketepatan stereng dan kestabilan selekoh. Ia disasarkan kepada mereka yang mempunyai model prestasi seperti BMW M4 CS dan Porsche 911 GT3.

SuperSport R boleh didapati dalam saiz 18 hingga 21 inci, lebar 205 hingga 305 dan siri 40 hingga 25.

Eagle F1 SuperSport RS

Untuk SuperSport RS pula, ia merupakan pilihan tayar paling agresif untuk tujuan paling spesifik seperti perlumbaan atau track day.

Hanya dua saiz ditawarkan untuk tayar ini, iaitu 2645/35 ZR20 dan 325/30 ZR21, khas untuk Porsche 911 GT2 RS dan Porsche 911 GT3 RS.

Eagle F1 Asymmetric 5

Tayar ini menawarkan fokus kepada keselesaan dan prestasi membrek di permukaan basah. Ia menampilkan rekaan bunga tayar khas dan Impulse Control Compound Technology, iaitu teknologi silika yang membolehkan tayar mencapai prestasi brek di kelajuan tinggi dan memendekkan jarak brek.

Eagle F1 Asymmetric 3 SUV

Untuk kereta lebih besar dan SUV, Eagle F1 Asymmetric 3 SUV juga boleh didapati, direka untuk memberikan penggunaan bahan api lebih baik melalui rintangan golekan yang rendah.

Ia turut mendapat ActiveBraking Technology, fungsi yang memendekkan jarak membrek. Ia juga didatangkan dengan Grip Booster untuk meningkatkan tahap kekenyalan tayar dengan permukaan jalan untuk lebih keselesaan, pengendalian dan kawalan.

Rangkaian Assurance, EfficientGrip dan Wrangler

Di pelancaran sama, Goodyear Malaysia turut mengembangkan keluarga tayar mereka dengan memperkenalkan Assurance, EfficientGrip dan Wrangler baharu.

Untuk Assurance, Goodyear menawarkan TripleMax 2 untuk prestasi brek di permukaan basah, dan DuraPlus 2 untuk memanjangkan jangka hayat tayar.

EfficientGrip pula khas untuk mereka yang mahukan prestasi terbaik semasa membrek, dalam pada masa yang sama menjimatkan bahan api.

Untuk siri Wrangler pula, tayar Goodyear Wrangler AT SilentTrac mendapat teknologi untuk kebolehan off-road ringan, serta Wrangler DuraTrac untuk pemanduan off-road dengan lebih cengkaman.

Untuk maklumat lanjut, layari www.goodyear.com.my

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here