Ford Lynx RS: Sedan sports yang tidak menerima sambutan sepatutnya

7165

Baru-baru ini rakan penulis berkongsi tentang satu kereta di dalam group Whatsapp. Kereta itu ialah Ford Lynx RS.

Lantas penulis teringat satu artikel pandu uji dalam keratan akhbar semasa kereta ini mula dikeluarkan, pada tahun 2003. Penulis rajin membaca sisipan automotif dalam akhbar di hujung minggu semasa muda dulu. Iya lah, masa tu belum ada internet dan forum ni semua.

Imej: Motor Trader

Penulis masih ingat kereta dalam artikel itu yang berwarna merah. Nampak menarik, tetapi tiada apa yang istimewa di mata penulis.



Beberapa tahun kemudian pada 2008, penulis sempat menaiki Ford Lynx biasa, milik rakan sekolah penulis. Walaupun bukan RS, tetapi pada masa itu penulis merasa agak kagum dan tertarik dengan kereta ini.

Imej: Autoindustriya

Rakan penulis itu tidak pernah mempelawa penulis mencuba pandu Lynx RS-nya itu. Cis. Maklumlah masing-masing baru dapat lesen, P tampal lagi. Kereta tu pula milik ayahnya.

Tapi walaupun duduk di sebelah pemandu, penulis dapat rasakan ia sebuah kereta yang mantap luar dan dalam. Pecutannya cukup berkuasa. Yang tambah penulis geram, Lynx itu adalah manual. Fuh..

Sejarah

Ford Lynx RS diperkenalkan di pasaran Malaysia ketika sedan seperti Honda Civic ES (1.7 dan 2.0), Toyota Corolla Altis (1.6 dan 1.8) dan Proton Waja (1.6 dan 1.8) mendominasi pasaran.

Ia menjadi alternatif yang “suam-suam kuku” di pasaran – tak tahu kenapa – namun pada kami, sebenarnya satu kenderaan yang cukup mengujakan.

Cuba lihat Civic, Corolla Altis dan Waja, kesemuanya seperti kereta pakcik-pakcik. Namun Lynx RS tampil dengan penggayaan cukup sporti.

Ciri-ciri Ford Lynx RS

Imej: Autoindustriya

Merupakan versi tambahan kepada Ford Lynx yang telah dijual sejak 2000, Lynx RS mendapat kit badan lengkap, spoiler belakang, dan rim 16-inci. Ia ditawarkan dengan tiga warna garang iaitu hitam, merah dan putih.

Imej: Autoindustriya

Ruang dalamannya pula lebih unik berbanding Lynx biasa kerana dilengkapi tempat duduk semi-bucket hitam dan merah. Sterengnya pula adalah rekaan Nardi. Memang kelengkapan ­­high-end!

Imej: Carlist

Ciri utama pada Ford Lynx RS ini tentulah enjinnya. Berbanding Lynx biasa yang bersesaran 1,600cc, Lynx RS menggunakan enjin 2,000cc DOHC.

Enjin dengan Variable Inertia Charging System (VICS) cukup moden pada ketika itu. Ia mampu menjana 142hp pada 6,000 rpm dan 192Nm pada 4,500 rpm.

Imej: Carlist

Tetapi agak sayang kerana Lynx RS hanya ditawarkan dengan transmisi automatik empat kelajuan. Kalau diberi pilihan manual seperti Lynx biasa, pasti lebih mantap.

Namun Ford Lynx RS tetap mempunyai prestasi yang tidak kurang hebatnya. Enjinnya mampu memberi pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 210 km/j. Jangan main-main.

Sistem keselamatan Ford Lynx RS ini juga cukup baik, dengan dua beg udara dan sistem brek ABS dengan EBD.

Semasa baharu, kereta ini dijual pada RM115,000. Hasil semakan kasar di internet, penulis dapati harga pasaran Lynx RS ini adalah pada RM9,000 hingga RM16,000 sahaja!

Kalau anda mencari sebuah kereta second hand yang berspesifikasi gempak dan rare, serta kenal bengkel untuk menyelenggara kereta Ford, mungkin anda patut pertimbangkan Lynx RS ini!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here