Tanggapan pertama: Toyota Yaris 1.5G – ‘Comeback’ yang lebih mengujakan [+video]

5640

Setelah dihentikan penjualannya pada 2012 selepas berada dalam pasaran selama kira-kira enam tahun, Toyota Yaris 1.5G kembali semula dengan membawakan imej dan hala tuju terkini syarikat Jepun itu.

Berbanding versi sebelum ini yang merupakan unit import sepenuhnya (CBU), Yaris kali ini adalah versi CKD yang dipasang di kilang baharu Toyota di Bukit Raja, Klang. Kilang itu juga menjalankan produksi Vios terkini.



Kami berkesempatan menguji hatchback segmen-B ini dalam sesi pemanduan media dari Kuala Lumpur ke Janda Baik. Sayang sekali Janna Nick tak dapat bersama kami dalam sesi itu.

Dari segi luaran, Toyota Yaris 1.5G bagi penulis mempunyai rupa yang agak “sibuk” sama seperti kembar sedannya, Vios. Tetapi, mungkin ada pembaca di luar sana yang sukakan gaya ini. Tidak salah, minat dan selera masing-masing.

Yang penting, Yaris memberikan satu lagi pilihan segar kepada pembeli dalam segmennya.

Yaris cukup praktikal dengan tempat duduk selesa dan luas. Ruang simpanan barang juga agak banyak.

 

Cuma tiada paddle-shifters dan tempat duduk balutan kulit walaupun dalam varian tertinggi. Untuk tempat duduk kulit, kami tetap percaya langkah itu bukanlah untuk tujuan kawalan kos semata.

Pemilihan tempat duduk jenis fabrik mungkin lebih sesuai untuk jiwa dan imej Yaris ini yang sedikit berbeza dari Vios. Tempat duduknya agak selesa dan mempunyai cukup sokongan di bahagian diperlukan.

Tempat duduk belakang memberikan ruang kaki luas untuk penumpang. Ruang kepala juga agak baik. Apabila penulis duduk, masih terdapat kelegaan kira-kira 2 inci dari kepala penulis ke siling.

Dari segi pemanduan, agak mengejutkan kerana Yaris ini mempunyai gaya pemanduan lebih bersemangat dan sedikit lincah berbanding Vios. Penulis menjangkakan ia akan lebih mirip kepada Vios, namun perbezaannya lebih banyak dari jangkaan.

Kabin Yaris juga cukup senyap, boleh dikatakan terbaik dalam kelasnya untuk aspek ini. Walaupun pada kelajuan melebih had laju, bunyi angin dan tayar masih sangat minima.

Jika anda inginkan sebuah hatchback dengan penampilan sporti namun tetap selesa dan meyakinkan untuk dipandu, Yaris satu calon sangat sesuai.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here