Tonton Honda NSX-R lama mengalahkan NSX baharu dalam cabaran touge

2851

Baharu biasanya lebih baik dari yang lama, betul? Telefon pintar versi terkini lebih pantas dan lancar dari yang lama, kasut Adidas Yeezy Boost lebih selesa dari Adidas Superstar, dan kamera digital mengambil foto lebih cantik dan jelas berbanding kamera filem.

Tapi dalam sesetengah keadaan, tidak semestinya.



Sebagai contoh; Honda NSX lama dan baharu, dimana NSX lama telah mengalahkan NSX baharu.

Dalam siri touge yang dijalankan oleh Best Motoring iaitu siri automotif popular Jepun, Honda NSX-R model dari 1992 lebih pantas di sesetengah sektor Gunma Cycle Sport Center atau lebih dikenali dengan Gunsai Touge itu berbanding NSX serba baharu yang canggih dan lebih berkuasa.

Honda NSX-R dipacu oleh enjin 3.2-liter VTEC DOHC yang menghasilkan 280hp dan sekitar 300Nm tork, dan kuasa mentah ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi manual 6-kelajuan. Mudah.

Honda NSX baharu pula (dalam siri ini menggunakan model 2017) dipacu oleh enjin 3.5-liter DOHC twin-turbo yang menjana 580hp dan 646Nm tork. Lebih dua kali ganda kuasa!

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai sistem hibrid dengan tiga motor elektrik. Satu di tengah (di belakang berdekatan enjin) yang berkuasa 50hp, dan dua lagi motor elektrik di setiap tayar depan, dan berkuasa 36hp setiap satu.

Kuasa enjin disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik 9-kelajuan. Dua motor elektrik di tayar depan pula menggunakan direct drive, yang juga berfungsi sebagai torque-vectoring. Ketika di selekoh, ia boleh memberi lebih kuasa di tayar luar untuk membantu kereta membelok dengan lebih tajam.

Jadi, bagaimana NSX baharu yang lebih canggih dan berkuasa ini dikalahkan oleh NSX-R?

Pertamanya, NSX baharu lebih berat, iaitu 1,723kg berbanding NSX-R yang hanya seberat 1,230kg. Jadi ini memberi NSX-R lebih kelebihan di selekah dan di zon brek kerana ia boleh membrek lebih lewat.

NSX baharu mempunyai kelebihan ketika memecut keluar selekoh, tetapi semua sistem elektronik “berusaha keras” membantu kereta itu mengambil selekoh dengan baik.

Pemandu-pemandu yang terlibat iaitu Tsuchiya (DK), Nobuteru dan Orido tidak begitu gemar dengan NSX baharu yang mempunyai terlalu banyak elektronik yang masuk campur dalam kawalan mereka. Brek juga terasa pelik menurut kata mereka, kerana NSX baharu ini dilengkapi sistem hibrid.

Berbanding NSX-R, kesemua pemandu seronok melenjan kereta itu ke tahap maksimum kerana kereta itu lebih telus dengan pemandu dan memberi banyak respon. Mereka tidak kisah bekerja lebih keras dengan stereng dan penukaran gear asalkan mereka tahu apa yang berlaku.

Honda NSX-R mendapat markah penilaian lebih tinggi berbanding NSX baharu kerana secara keseluruhan, NSX-R itu sebuah kereta yang lebih seronok dipandu.

“Kuasa bukanlah segala-galanya untuk kereta sports,” kata Tsuchiya.

Terus ke minit 15:05 jika anda mahu terus menonton aksi touge kedua-dua jentera ini.

Tetapi mereka turut berkata, NSX baharu ini tetap sebuah kereta yang mantap, cuma Gunsai ini bukan tempatnya. Jalanraya luas, rata dan berselekoh besar (seperti Lebuhraya Karak atau Litar Sepang) pasti lebih sesuai untuk NSX 2017 ini.

Apa pun, kedua-dua kereta mempunyai kelebihan masing-masing. Mana satu jadi pilihan anda kalau wang ringgit bukan halangan?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here