Covid-19: Robot ‘Makcik Kiah 19’ bantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan

2521

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) membangunkan sistem robot penghantaran hospital bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan menangani pandemik Covid-19.

Robot itu yang diberi nama ‘Makcik Kiah 19’ (MCK19) adalah robot penghantaran pertama buatan Malaysia untuk di hospital bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19.



Menurut UTM, projek itu dimulakan pada permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diketuai pengasas bersama DF, Profesor Madya Dr Yeong Che Fai daripada Kajian Kejuruteraan Elektrikal, UTM.

“MCK19 boleh menampung berat sehingga 300kg diatas raknya dan mampu melakukan navigasi secara automatik untuk membantu doktor dan jururawat dalam menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.

“Penggunaan robot ini iaitu MCK19 akan mengurangkan pendedahan profesional dan petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan kepada pesakit dalam pemantauan (PUI) yang berisiko tinggi dijangkiti dan perlu diasingkan.

“Sehubungan itu, ia juga akan mengurangkan keperluan kepada PPE (alat pelindung diri) berikutan hospital-hospital di peringkat global kini mengalami kekurangan bekalan,” kata UTM.

robot Covid-19

UTM juga berkata, projek itu mengambil masa kurang daripada dua minggu untuk membangunkan prototaipnya.

“MCK19 dijangka diuji di HCTM pada akhir minggu ini. Sekiranya robot ini didapati boleh digunakan, DF Automation and Robotics Sdn Bhd komited untuk mengeluarkan robot itu secara besar-besaran untuk dibekalkan ke hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukannya.

“Untuk jangka panjang, pasukan itu merancang untuk mengeluarkan robot yang mempunyai rekaan yang lebih mirip manusia dan mesra manusia,” katanya.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, penciptaan robot itu merupakan satu lagi usaha UTM untuk membantu memerangi virus itu, selaras dengan inisiatif universiti untuk menyejahterakan kehidupan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here