BMW X6 2020 serba baharu kini lebih besar, lebih rendah, 0-100 dalam 5.5 saat

3020

BMW Malaysia telah mengumumkan ketibaan X6 generasi ketiga baharu, serentak dengan kehadiran coupe sport 840i Gran Coupe.

X6 xDrive40i M Sport yang merupakan SUV sports atau BMW gelarkan sebagai Sports Activity Coupe (SAC) ini ditawarkan pada harga RM729,800 lengkap dengan waranti 5 tahun, program servis berjadual percuma dan program waranti tayar.



Berbanding model sebelumnya, X6 generasi ini lebih besar secara keseluruhan; 26mm lebih panjang, 15mm lebih lebar, jarak roda lebih panjang 42mm. Tetapi, ia lebih rendah 6mm berbanding model terdahulu.

Gril kidney yang ikonik ada seperti biasa, tetapi gril ini dilengkapi dengan pencahayaan Iconic Glow. Di kiri dan kanan gril ini adalah sepasang lampu laser BMW serta lampu kabus LED. Di belakang pula, terdapat lampu LED tiga dimensi berbentuk L, liang udara dan pintu but automatik.

Seperti pada namanya iaitu X6 xDrive40i M Sport, SUV ini mendapat komponen M Sport seperti ekzos, brek, suspensi adaptif, dan rim aloi ringan 21-inci Y 741 M Bicolour.

BMW X6 ini mampu mencapai 100km/j dalam masa 5.5 saat, dan mempunyai kelajuan maksima 250km/j. Prestasi ini disumbangkan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris dengan 340hp dan 450Nm tork.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda BMW xDrive.

Untuk memastikan ia mempunyai kendalian terbaik dalam apa kelajuan sekalipun, X6 ini didatangkan dengan suspensi double-wishbone di depan, multi-link di belakang, dan Dynamic Damper Control sebagai standard.

Kelengkapan kabin termasuklah balutan kulit Vernasca, stereng kulit M, tempat duduk sport kulit, tirai gulung, pendingin hawa automatik 4 zon, dan bumbung kaca panoramik yang luas.

X6 juga mendapat sistem audio premium Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, kemasan kaca CraftedClarity, kemasa Aluminium Tetragon, dan pencahayaan dalaman dengan 6 warna berbeza.

Di depan pemandu, terdapat skrin 12.3-inci BMW Live Cockpit yang memaparkan maklumat kenderaan dan pemanduan. Satu lagi skrin 12.3-inci di tengah digunakan untuk mengakses unit hiburan.

Lebih menarik, penumpang belakang disajikan dengan Rear-seat Entertainment Professional dengan dua skrin sesentuh 10-inci setiap satu.

Ciri keselamatan termasuklah Driving Assistant Professional yang merangkumi Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Steering Assist dan Active Cruise Control.

6 warna boleh dipilih untuk BMW X6 ini, iaitu Manhattan, Artic Grey, Riverside Blue, Carbon Black, Mineral White dan Flamenco Red. Warna ini pula boleh dipadankan dengan BMW Leather Vernasca hitam atau Tacora Red.

Para pelanggan kini boleh menempah BMW X6 xDrive40i M Sport yang terbaharu di https://shop.bmw.com.my/ pada harga RM7,000.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here