Galeri: Toyota RAV4 kini di Malaysia, dari RM196k, pencabar Mazda CX-5 Turbo?

2422

UMW Toyota memulakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan pelancaran RAV4 2020 secara maya untuk pasaran Malaysia.

SUV yang hensem dan kemas ini merupakan model generasi ke-5, dan merupakan SUV paling laris di dunia dengan lebih 2 juta unit telah terjual seluruh dunia.



Toyota RAV4 2020 dijual pada harga RM196,500 untuk model 2.0L dan RM215,700 untuk 2.5L. Harga ini juga lebih rendah dari harga awal yang diumumkan sebelum ini disebabkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

RAV4 generasi terbaharu ini – seperti model-model Toyota terkini yang lain – dibangun menggunakan Dynamic Force Engine serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang memberikan tahap prestasi dan kuasa dipertingkat untuk pemanduan memuaskan.

Enjin 2.0L 4-silinder VVT-iE dan VVT-i mempunyai sesaran 1,987cc dan mampu menjana 173hp pada 6,600rpm dan 207Nm tork pada 4,800rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT dengan Sequential Shiftmatic.

Untuk model lebih berkuasa 2.5L pula, ia bersesaran 2,487cc dan juga mempunyai konfigurasi 4-silinder VVT-iE dan VVT-i. Kuasa adalah 207hp pada 6,600rpm manakala tork ialah 243Nm pada 5,000rpm.

Transmisi untuk model 2.5L ialah automatik 8-kelajuan Direct Shift dengan Sequential Shiftmatic. Kotak gear ini dikatakan lebih ringan dan lebih kompak dari unit 6-kelajuan pada model generasi sebelumnya.

Kedua-dua model 2.0L dan 2.5L adalah pacuan roda depan (FWD), tiada model AWD atau 4×4 buat masa ini.

SUV Premium ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan maju Toyota Safety Sense yang terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Meluncur Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.

RAV4 serba baru ini turut dilengkapi pintu belakang dengan sensor gerak kaki dan beberapa ciri lain yang menjadikan penawarannya sebagai yang terbaik dalam segmen SUV mesra penumpang.

Selain dari sistem keselamatan biasa, Toyota RAV4 turut mendapat Vehicle Telematics System (VTS) yang mampu mengesan lokasi kereta menggunakan GPS sekiranya ia dicuri. VTS boleh digunakan melalui aplikasi di peranti mudah alih untuk memantau fungsi-fungsi lain pada RAV4.

Toyota menawarkan RAV4 serba baru dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan.

Jadi, dengan pakej harga dan prestasi ini, adakah Toyota RAV4 pencabar sebenar kepada Mazda CX-5 2.5 Turbo?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here