Pengecualian cukai: Jualan Perodua terus laris, Jun catat jualan tertinggi setakat tahun ini!

1263

Berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan pada 5hb Jun bagi merangsang jualan kenderaan di sebalik pandemik Covid-19, jualan Perodua terus mencatat peningkatan.

Dianggarkan sebanyak 21,250 kenderaan dijual pada Jun – jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini dan hampir tiga kali ganda jualan bulan lepas.



“Kenaikan jualan kami akibat penurunan harga tersebut membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar pada masa yang sukar ini – pada Jun sahaja kami telah membelanjakan hampir RM500 juta untuk membeli komponen tempatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Kami merakamkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan, sokongan dan kesabaran mereka. Operasi kami kini berada di tahap kapasiti penuh dan kerja lebih masa maksimum.

“Kami sedang bertungkus-lumus untuk memastikan para pelanggan kami akan menerima kenderaan mereka secepat mungkin tanpa berkompromi dengan keselamatan dan kualiti,” tambah beliau.

Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18hb, membawa kepada penutupan operasinya selama dua bulan.

Perodua kembali beroperasi secara rasmi di seluruh negara pada 19hb Mei dan berjaya menjual 7,886 kenderaan sebelum akhir bulan tersebut.

“Kami juga telah melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab Badan & Cat (B&P) terpilih di seluruh negara. Para pelanggan yang ingin servis kenderaan mereka diminta untuk membuat janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan mereka,” kata Dato’ Zainal.

Jualan Perodua setakat tahun ini (YTD) kini berjumlah sekitar 74,000 unit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here