Proton X50 1.5TGDi dan 1.5T – Kenapa sampai dua jenis enjin kapasiti sama? Ini sebabnya

7972

Proton X50 telah mula dipertontonkan kepada media beberapa minggu lepas, dan tempahan telahpun dibuka bermula 16 September lepas. Bergantung kepada varian, ia datang dengan dua pilihan enjin.

Dua jenis enjin ini pula bukanlah dengan kapasiti yang berlainan, tetapi kapasiti sama. Enjin itu adalah 1.5-liter TGDI direct-injection dengan output 177hp dan 255Nm, serta enjin 1.5-liter port-injected turbo dengan 150hp dan 226Nm.



Enjin 1.5TGDI dikhaskan untuk X50 varian tertinggi Flagship, manakala 1.5T untuk tiga varian selebihnya, iaitu Standard, Executive dan Premium.

Tetapi, kenapa sampai dua jenis enjin? Rasanya satu jenis sudah mencukupi.

Menurut Proton, hal ini kerana demi mempersiapkan syarikat itu untuk “perancangan masa depan” mereka. Perkara ini dinyatakan oleh Hazrin Fazail bin Haroon, ketua bahagian kejuruteraan di Proton semasa sesi preview X50 di Litar Antarabangsa Sepang semalam.

Katanya, dalam menghasilkan X50, Proton ingin menggunakan peluang ini untuk menyediakan satu lagi variasi enjin turbo untuk masa depan.

Ketika ditanya adakah model-model Proton lain berkemungkinan mendapat 1.5T ini, Hazrin tidak mengatakan dengan jelas, tetapi beliau juga tidak menafikannya.

Enjin 1.5T ini sememangnya sangat sesuai untuk model-model Proton seperti Exora, Persona dan Iriz. Exora mungkin perlu digantikan platformnya kerana sudah berusia, tetapi pada hemat kami, kemungkinan Persona dan Iriz akan menjadi calon awal.

Sementara itu, Proton Saga masih sesuai dengan 1.3-liter Campro VVT untuk memastikan harganya kekal kompetitif.

Enjin 1.5T port-injected sebenarnya merupakan cabang dari enjin 1.5TGDI. Dan seperti yang anda mungkin telah ketahui, Proton X50 merupakan model pertama dalam kumpulan Geely untuk menggunakan 1.5T itu.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here