Perang segmen-B: Honda City vs Nissan Almera vs Toyota Vios

12295

Dengan pelancaran Honda City baru-baru ini, ia terus membawa kita kepada perang tiga penjuru dalam segmen-B. Perang ini adalah antara Honda City melawan Nissan Almera dan Toyota Vios.

Kami tahu ramai yang sedang berkira-kira memilih, jadi mari kita lihatkan kepada beberapa aspek.

Harga



Kami bandingkan harga dari varian-varian yang paling hampir sama antara ketiga-tiga model, jadi kami pilih Honda City 1.5 V, Nissan Almera 1.0 VLP dan Toyota Vios 1.5 G.

Dari sini, ketiga-tiga model nampak cukup berdaya saing. Kita harus melihat kepada aspek seterusnya kerana penilaian pembelian adalah lebih dari harga semata-mata.

Enjin dan transmisi

Jika sebelum ini kesemua model dalam segmen-B terhad kepada konfigurasi enjin naturally-aspirated empat-silinder, hari ini kita mempunyai lebih variasi.

Honda City ditawarkan dengan varian RS yang menggunakan enjin hibrid untuk varian tertinggi (yang tidak dibandingkan dalam artikel ini). Tetapi yang ditampilkan kali ini ialah varian V dengan enjin 1.5-liter 4-silinder, cukup untuk 121hp dan 145Nm tork.

Nissan Almera paling berbeza di sini, dengan enjin 1.0-liter turbo 3-silinder untuk semua varian. Enjin ini memberikan 100hp dan 152Nm tork.

Sementara itu, Toyota Vios pula dipacu enjin 1.5-liter Dual VVT-i dengan 107hp dan 140Nm. Ia mungkin bukan paling berkuasa, tetapi enjin ini dikatakan paling tahan lasak dan boleh diharap.

Untuk transmisi, kesemua model menggunakan jenis CVT atau Continuous Variable Transmission. Cuma City RS hibrid yang menggunakan eCVT yang sedikit berbeza.

Dimensi dan saiz

Melebihi 4.5 meter, Honda City merupakan model terpanjang dalam perbandingan ini. Dari segi wheelbase jarak roda pula, Nissan terpanjang, pada 2,620mm, diikuti Honda City kemudian Toyota Vios.

Wheelbase Honda City ini sebenarnya sama dengan generasi sebelumnya, tetapi Honda berkata ruang kaki penumpang belakangnya kini lebih luas.

Ciri-ciri lain

Semua varian Honda City baharu (kecuali varian asas 1.5 S) kini mendapat unit infotainmen cukup lengkap dan moden, menampilkan skrin sesentuh besar bersaiz 8.0-inci.

Ia juga lengkap dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, dimana Nissan Almera hanya mempunyai Apple CarPlay sementara Toyota Vios hanya mempunyai fungsi Mirrorlink.

Keselamatan

Walaupun Vios paling kurang bab prestasi dan ciri hiburan, ia mempunyai jumlah beg udara paling banyak, iaitu tujuh, sebagai standard.

Tetapi Honda City juga dinaiktaraf dari generasi sebelumnya, varian 1.5 S kini mendapat empat beg udara (dua sebelum ini).

Varian V dan RS mendapat 6 beg udara dan fungsi Honda LaneWatch, manakala varian tertinggi RS mendapat Honda SENSING, pakej keselamatan dengan 7 sistem lengkap dalam segmen ini.

Nissan Almera juga tidak kurang spesifikasinya, varian lebih tinggi mendapat 6 beg udara. Selain itu, ciri bantuan pemanduan seperti Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking juga standard untuk semua varian, good job Edaran Tan Chong Motor!

Kesimpulan – tepuk dada tanya selera

Kesimpulannya, selepas meneliti kesemua aspek ini, ia masih terpulang kepada diri anda. Ikutlah gerak hati anda dan jangan terlalu fikirkan apa kata orang.

Tetapi secara umum, Toyota Vios dikatakan paling tidak rumit, dilengkapi teknologi terbukti dan dipercayai.

Nissan Almera pula menggunakan konfigurasi enjin paling berbeza dan merupakan penambahbaikan yang ketara dari generasi sebelum ini.

Sementara itu, Honda City mempunyai penggayaan paling dinamik. Ia juga padat dengan ciri-ciri termaju dan pertama dalam kelasnya, dilengkapi enjin terbaharu serta ciri keselamatan paling lengkap.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here