5 sebab kenapa kami suka Nissan Almera Turbo

5566

Nissan Almera Turbo merupakan model serba baharu yang sangat dinanti-nantikan tahun lepas. Berbaloikah menunggunya? Sangat berbaloi!

Dilancarkan secara rasmi pada 1 November 2020, Nissan Almera ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT dengan harga dari RM79,906 hingga RM91,310.



Penulis juga telah memandu uji Almera ini dalam satu sesi ringkas untuk media, dan apa yang boleh disimpulkan dari pemanduan itu ialah: melebihi jangkaan!

Baiklah, untuk lebih terperinci sedikit, kami ingin kongsikan lima sebab utama kenapa kami suka sangat dengan Nissan Almera Turbo serba baharu ini.

1. Reka bentuk segak dan kontemporari

Perkara pertama kita lihat tentang sesebuah kereta pastinya reka bentuk luarannya. Dan untuk Nissan Almera Turbo 2020 ini, reka bentuknya sangat segak dan moden. Kami pasti anda semua pun berpendapat sama.

Tiada lagi garisan melengkung comel, tetapi kini segalanya lebih bersegi, memberikan imej sporti dan dinamik.

Almera Turbo ini menampilkan rekaan gril V-Motion selari dengan model-model global Nissan yang lain. Ciri floating roof atau bumbung terapung hasil permainan warna di bahagian tiang-C memberikan keunikan kepada Almera.

2. Satu-satunya yang guna enjin turbo

Berbanding pesaingnya pada masa ini yang menggunakan enjin 1.5-liter naturally-aspirated, Nissan Almera tidak mengikut jejak langkah mereka. Sebaliknya, Almera menggunakan enjin 1.0-liter turbo 3-silinder!

Amacam? Baru lah rare, kan? Ini menjadikan Almera satu-satunya dalam segmennya yang menggunakan turbo.

Jangan terpedaya dengan kapasiti kecilnya, unit HR10DET ini tetap menjana 100hp pada 5,000rpm dan 152Nm tork pada 2,400 hingga 4,000rpm. Output ini boleh dikatakan menyamai enjin naturally-aspirated bersaiz 1.3-liter.

Pujian harus diberikan kepada Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kerana berani membawakan enjin turbo dalam pasaran sedan segmen-B ini.

Oh ya, enjin ini juga menggunakan satu teknologi yang terdapat pada Nissan GT-R R35, iaitu Mirror Bore Coating Technology. Haa ada sedikit elemen Godzilla tu!

3. Kabin luas dan banyak ciri praktikal

Dengan ukuran panjang badan 4,495mm, Nissan Almera ini menjanjikan ruang kabin yang luas dan selesa. Kami telah duduk sendiri di tempat duduk depan dan belakang pada hari pandu uji tempoh hari, sememangnya selesa untuk 5 orang dewasa.

Butnya berkapasiti 482 liter, tetapi jika anda memerlukan lebih ruang, tempat duduk belakang Nissan Almera ini boleh dilipat 60:40. Dan fungsi ini standard pada semua varian!

Sesuai dengan kehendak masa kini, Nissan Almera didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay untuk varian tertinggi. Orang muda pasti suka punya lah!

4. Pemanduan mantap untuk semua keadaan

Kami katakan awal tadi mengenai melebihi jangkaan. Bab paling melebihi jangkaan ialah bab pemanduan.

Nissan Almera baharu ini sangat senyap, terasa solid, mudah dipandu, enjin bertenaga dan pecutan mantap. Gegaran enjin 3-silinder? Mengarut semua tu!

Dalam video di atas juga kami nyatakan betapa bertenaganya pecutan dari enjin 1.0-liter turbo itu tetapi pada masa yang sama, sangat lancar dan selesa.

Stereng juga terasa baik, selain kualiti binaan dalaman yang cukup bagus. Boleh dikatakan juga kualiti pemanduan Nissan Almera ini hampir menyamai tahap kenderaan segmen-C.

5. Ciri keselamatan lengkap

Akhir sekali, kami suka Nissan Almera ini kerana ia dilengkapi ciri keselamatan cukup komprehensif, standard untuk semua varian.

Ciri keselamatan standard adalah Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, ABS, Brake Assist, Electronic Brake-force Distribution dan Hill-Start Assist. Malah Intelligent Forward Collision Warning dan Intelligent Forward Emergency Braking pun standard untuk semua varian!

Cuma varian tertinggi VLT diberikan ciri tambahan Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent Around View Monitor.

Apa pendapat anda? Setuju dengan kesemua lima perkara yang kami nyatakan ini?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here