Mercedes C-Class 2022 dengan rupa seperti S-Class dan teknologi lebih canggih

2616

Mercedes C-Class 2022 serba baharu telah dilancarkan secara global semalam, menampilkan rekaan baharu dan semestinya teknologi lebih canggih.

C-Class dengan kod nama W206 ini diperkenalkan dengan rekaan badan sedan dan wagon, serta barisan enjin petrol, diesel dan hibrid.



Rekaan luaran keluarga Mercedes

Tidak dinafikan C-Class terbaharu membawakan gaya seperti S-Class, tetapi ia memberikan kesinambungan antara model ini dengan ahli keluarga Mercedes lain.

Dari segi dimensi, C-Class ini 65mm lebih panjang, 10mm lebih lebar dan mempunyai bumbung lebih rendah. Ia juga model C-Class pertama dengan lampu belakang jenis kombinasi two-piece.

Lampu depannya lebih tajam seperti E- dan S-Class, manakala profil tepinya lebih ringkas. Pilihan rim adalah dari 17- hingga 19-inci.

Kabin lebih canggih dan luas

Hasil dimensi lebih besar, kabin dalam C-Class baharu ini juga lebih luas. Ruang kepala, siku, dan bahu kini bertambah untuk penumpang depan dan belakang.

Seperti model-model Mercedes terkini, rekaan papan pemuka C-Class W206 juga dipenuh skrin dan meminimakan penggunaan tombol dan butang.

Walaubagaimanapun, tiada skrin panjang melintang yang bersambung untuk panel instrumen dan infotainmen. Sebaliknya, skrin infotainmen sedan ini terletak di tengah, yang kami lebih suka.

Bergantung kepada pasaran, saiz skrin instrumen adalah 12.3-inci atau 10.25-inci, manakala skrin infotainmen bersaiz 11.9-inci atau 9.5-inci.

Enjin dan transmisi

Mercedes C-Class menawarkan pilihan enjin yang agak menyeluruh, dan semua ini akan dipadankan dengan satu pilihan transmisi sahaja iaitu automatik 9-kelajuan.

Bergantung kepada pasaran juga, pilihan enjin adalah seperti berikut:

  • C180 – 1.5-liter turbo, 167hp, 250Nm, RWD, 0-100km/j dalam 8.6 saat
  • C200 – 1.5-liter turbo, 201hp, 300Nm, boost ISG, 0-100km/j dalam 7.3 saat (model 4Matic dalam 7.1 saat)
  • C300 – 2.0-liter turbo, 255hp, 400Nm, boost ISG, 0-100km/j dalam 5.9 saat
  • C200d – 2.0-liter diesel, 161hp, 380Nm
  • C220d – 2.0-liter diesel, 197hp, 440Nm
  • C300d – 2.0-liter diesel, mild-hibrid, 261hp dan 550Nm
  • C300e – PHEV, 2.0-liter dan motor elektrik, 308hp dan 550Nm kuasa gabungan

Sistem stereng roda belakang baharu

Buat pertama kali untuk C-Class, generasi W206 dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (pilihan tambahan) yang mampu mengurangkan radius pusingan sebanyak 43cm.

Roda belakang akan dipusing sehingga 2.5-darjah berlawanan arah pada kelajuan rendah untuk pengemudian lebih mudah. Pada kelajuan tinggi pula, roda belakang ini akan dipusing sama arah dengan roda depan untuk menambah kestabilan.

Teknologi

Selain dari MBUX generasi kedua untuk sistem infotainmen, Mercedes C-Class baharu juga mendapat sistem Digital Light.

Ciri tambahan ini membantu lampu depan untuk menyuluh objek penting seperti papan tanda dan memberikan pencahayaan jauh ke depan tanpa menyilaukan kenderaan dari hadapan. Sistem ini menggunakan lampu dengan binaan 1.3 juta cermin-mikro.

Mercedes C-Class serba baharu ini akan mula dijual di Eropah bulan depan, kemudian tiba di pasaran Amerika Syarikat awal 2022. Kami menjangkakan sedan ini tiba di Malaysia suku pertama tahun depan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here