Tempahan Suzuki Swift Sport dibuka, harga jangkaan RM145k?

1566

Beberapa hari lepas kami ada melaporkan bahawa Suzuki secara rasmi telah kembali ke Malaysia dan akan membawa masuk Swift Sport dan Jimny.

Dalam perkembangan terbaharu, sah bahawa Suzuki Swift Sport akan menjadi model pertama dilancar dan tular dalam satu siaran di Facebook bahawa hot hatch ini dibuka tempahannya dengan harga anggaran RM145k.



Mahal? Mungkin, tetapi harus diingat Swift Sport generasi sebelum ini dijual pada sekitar RM98k hingga RM103k, dan itu adalah 10 tahun dahulu. Jika diambil kira faktor inflasi dan pakej yang ditawar pada Swift Sport terkini, harga RM145k itu sebenarnya sangat menarik.

Model hot hatch kecil-kecil cili padi ini dikuasakan oleh enjin petrol turbo baharu 1.4-liter Boosterjet dengan 140hp dan 230Nm tork. Pilihan transmisi adalah manual atau automatik, kedua-duanya 6-kelajuan.

Angka nampak biasa-biasa sahaja? Perhatikan tork 230Nm itu sebenarnya adalah kira-kira 70Nm lebih dari model sebelum ini, dan Swift Sport juga mempunyai berat sekitar 970kg sahaja! Jadi, bayangkan betapa lincah kereta ini.

Swift Sport dibina di atas platform baharu Heartect Suzuki yang menawarkan casis lebih tegar dan stabil untuk kelajuan tinggi.

Di pasaran luar, hatchback ini ditawarkan dengan warna-warna menyerlah seperti Burning Red Pearl Metallic, Speedy Blue Metallic, Pure White Pearl, Premium Silver Metallic, Mineral Grey Metallic, Super Black Pearl dan warna heronya Champion Yellow.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here