Tempahan tiket terus sepi, pengusaha bas ekspres makin dihimpit kerugian

1326

Dua tahun sebelum ini, tempahan tiket bas ekspres sempena Aidilfitri sudah meriah bermula awal Ramadan.

bas ekspres
gambar hiasan

Namun kini, rutin tahunan perantauan untuk pulang berhari raya bertukar angkara Covid-19 sehingga rentas negeri tidak dibenarkan kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, tempahan tiket terus sepi memandangkan arahan terbaharu kerajaan yang masih tidak membenarkan rentas negeri.



Menurutnya, keadaan itu terus menjadi igauan ngeri buat pengusaha bas ekspres yang terus dihimpit kerugian.

“Sebelum Covid-19, antara 5,000 hingga 6,000 bas ekspres akan beroperasi pada musim perayaan khususnya Aidilfitri.

“Namun kini permintaan tiket terus sepi kerana orang ramai masih bimbang jika kebenaran pulang ke kampung ditangguh lagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, semua pengusaha kini ‘mati akal’ kerana tidak mampu beroperasi dan hanya sekitar 10 peratus saja pekerja yang masih bekerja.

Katanya, kebiasaannya musim perayaan begitu dinantikan kerana permintaan yang tinggi untuk laluan antara negeri.

“Apa lagi yang boleh diharapkan selain daripada kebenaran merentas negeri namun jumlah kes yang masih tinggi menyebabkan impian itu kekal terkubur setakat ini.

“Bukan saja kami terus dihimpit beban hutang tetapi ada yang sudah terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi dan hutang bank,” lanjut Mohamad Kaharrudin.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here