Perodua yakin capai sasaran jualan 240,000 unit untuk 2021

1069

Perodua, yang menjual 96,281 kenderaan dalam lima bulan pertama 2021, mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 240,000 unit bagi tahun ini walaupun berhadapan dengan situasi pandemik serta isu kekurangan semikonduktor.

“Jualan Perodua setakat Mei tahun ini adalah sebanyak 96,281 unit, mewakili peningkatan 82 peratus berbanding 52,920 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2020,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.



“Namun, pada tahun tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa antara Mac dan Mei,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, di mana Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun tersebut, iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun ini.

“Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian tambahan, kami percaya bahawa kami mampu mencapai sasaran 240,000 unit kami bagi tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami,” ujar Dato’ Zainal.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, sekaligus membantu kami menampung permintaan, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.

“Kami memahami bahawa langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi melawan pandemik ini adalah perlu demi kesihatan dan keselamatan rakyat, dan kami, bersama-sama dengan para pembekal dan pengedar kami, akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak kerajaan bagi meratakan lengkung Covid-19,” tambah beliau.

Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan ini, Dato’ Zainal berkata bahawa para pelanggan boleh menghubungi pusat servis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Bagi penghantaran kenderaan baharu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami yang dihargai atas kefahaman dan kesabaran mereka dalam menunggu kenderaan Perodua mereka,” tambah beliau.

Perodua telah menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here