Wmoto Xtreme 150i (RM9k) vs Honda ADV 150 (RM11k), mana satu OK?

9414

Pasaran automotif sedikit suram kerana pandemik yang melanda sejak tahun lalu. Ketidaktentuan pasaran membuatkan pengeluar menunda pengenalan produk baharu.

Namun, situasi itu tidak menghalang MForce Bike Holdings sebagai pengedar rasmi jenama Wmoto memperkenalkan produk terkini. Kehadiran Wmoto Xtreme 150i mengaktifkan semula pasaran motosikal yang agak pasif.

Kehadiran skuter adventure touring 150cc itu bakal bersaing dengan Honda ADV 150 yang dilancarkan Februari lalu. Berikut info ringkas dan perbandingan Wmoto Xtreme 150i buat anda yang sedang mencari skuter advencer.  



ENJIN

Wmoto Xtreme 150i menerima penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) dan enjinnya mematuhi emisi Euro 4. Enjin 149.3cc SOHC penyejukan cecair silinder tunggal menghasilkan kuasa 12.1hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 11.8Nm @ 5,000rpm.

Sementara Honda ADV 150 pula lebih berkuasa pada output 14.6hp @ 8,500rpm dan tork 13.9Nm @ 6,500rp. Pesaing kepada Honda ADV 150 ini menggunakan transmisi jenis CVT.

REKAAN

Xtreme 150i memiliki penampilan lasak dan tinggi seperti pesaingnya. Jentera tersebut didatangkan dengan sistem pencahayaan jenis LED di depan dan belakang.

Lampu depan dipadankan dengan lampu nyala siang (DRL) berbentuk teknikal dan terkini.  Cuma pemilihan lampu depan bulat membuatkan Xtreme 150i kurang umph dan tidak segarang Honda ADV yang memiliki bentuk lampu tajam.

Begitu juga lampu belakangnya yang sekali imbas kelihatan seperti jentera kapcai. Xtreme 150i dilengkapi dengan skrin meter digital LCD penuh memaparkan maklumat motosikal seperti perbatuan, kelajuan, rpm, baki minyak dan lain-lain. 

Saiz tangki minyak juga lebih besar iaitu 11 liter berbanding Honda ADV 150 hanya 8 liter. Kelebihan itu menawarkan tunggangan jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak. Menurut Pengurus Perancangan dan Pembangunan Produk, Omar Yani dengan isian minyak penuh jentera mampu bergerak sejauh 400km (bergantung kepada gaya tunggangan). 

Padanan Sistem Start Stop akan menghentikan enjin secara automatik ketika melahu atau berhenti di lampu isyarat sekaligus menawarkan penjimatan minyak.

CASIS

Xtreme 150i memiliki saiz badan kompak berbanding Honda ADV. Bagaimanapun jentera berkenaan lebih tinggi 137mm dan jarak kelegaan tanah juga sedikit tinggi sebanyak 15mm serta lebih berat 10kg. 

Jarak kelegaan tanah yang tinggi itu memberi kelebihan ketika tunggangan off road melalui laluan tidak rata dan berbukit. 

CIRI PERALATAN LAIN

Keselesaan tunggangan Xtreme 150i diserahkan kepada ciri peralatan terkini seperti:

  • Sistem suspensi terbalik (USD) di bahagian depan dan monoshock boleh laras di bahagian belakang. Monoshock yang dipasang secara condong membantu menyerap hentakan permukaan jalan dengan baik.
  • Kecekapan membrek diserahkan kepada brek cakera tunggal yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) di depan dan belakang.
  • Dipadankan dengan rim 14 inci, kaki depan menggunakan tayar bersaiz 100/80 dan 120/70 (belakang). Sementara ADV 150 pula dilengkapi dengan tayar bersaiz 110/80-R14 (depan) bersama ciri ABS dan saiz tayar 130/70-R13 (belakang).
  • Ruang simpanan di bawah pelana cukup luas bahkan turut tersedia dua port pengecas iaitu USB dan soket berkuasa 12V.
  • Visor angin boleh dilaras dalam julat 5cm mengikut ketinggian dan kesesuaian penunggang tanpa memerlukan peralatan khas.

HARGA

Wmoto Xtreme 150i didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu kelabu dan merah. Harga jualan juga lebih murah iaitu RM 9,588 berbanding Honda ADV 150 yang dijual sekitar RM11,999. 

Dengan setiap pembelian Wmoto Xtreme 150i, pelanggan layak menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings. 

BACA>>Honda ADV 150 akhirnya dilancar, dua pilihan warna, RM12k

BACA>>Jumlah saman melebihi harga motosikal, lelaki ini selamba sedekah skuter kepada polis

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here