Along salah simbah cat kereta, yang berhutang anak jiran

5541

Lain orang yang makan nangka lain orang yang kena getah. Begitulah nasib seorang lelaki apabila kereta miliknya disimbah cat along sedangkan yang berhutang anak jirannya. 

Insiden itu disedari mangsa pada jam 5.05 pagi selepas isterinya hendak turun kerja dan mendapati Perodua Viva itu disimbah cat berwarna merah jambu pada bonet dan tayar kereta.



Selain itu, along turut meninggalkan nota yang berbunyi, “pinjam wang, bayar wang, contact balik.”

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata hasil semakan oleh mangsa mendapati nama yang ditulis dalam notis berkenaan adalah anak kepada jirannya.

“Tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian.

“Mangsa juga dimaklumkan oleh jirannya bahawa anak perempuan mereka berhutang dengan along menerusi aplikasi Facebook sebanyak RM300 dan tidak lagi mampu membuat bayaran kerana diminta membayar sehingga RM8,600 ,” katanya. 

Hasil semakan lanjut mendapati anak jiran mangsa sudah membuat satu laporan polis pada 13 September lalu kerana cermin rumah dipecahkan dan disimbah cat merah manakala pagar rumah dikunci.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here