[Video] Konvoi PM Jepun lalu macam rakyat biasa, tiada pengiring trafik, tutup jalan dan siren!

3625

Golongan menteri mahupun individu VVIP akan menggunakan polis pengiring dan konvoi kereta ketika melalui jalan raya awam bagi melancarkan perjalanan mereka dan sebagai perlindungan.

Bagaimanapun, sistem sedemikian tidak digunakan di Jepun yang mana Perdana Menteri mereka bukan saja tidak menggunakan siren bahkan tiada polis trafik motosikal. 

Toyota Century PM Jepun

Situasi ini boleh dilihat menerusi video yang pernah dikongsi di Youtube beberapa tahun lalu ketika Shinzo Abe memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Begitu juga Perdana Menteri baharu mereka Fumio Kishida yang dilantik Oktober lalu.



Jika anda melihat video yang dikongsi, pemandangan itu adalah hari-hari biasa bagi anggota kabinet Jepun mematuhi peraturan lalu lintas seperti pengguna jalan raya lain.

Sementara, negara lain menggunakan sistem berbeza yang mana kebanyakannya  termasuk Malaysia akan menyekat jalan terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada ‘orang penting’.

Polis trafik akan mendahului konvoi meminta kenderaan awam menghimpit ke tepi jalan bagi membuka jalan selain membunyikan siren kuat.

SISTEM BERBEZA

Pada video yang dikongsi akaun Youtube trh200v1tr,  anda boleh melihat kereta Toyota Century Kishida dari lorong kanan perlu keluar ke susur sebelah kiri. Kebiasaannya akan ada polis trafik pengiring dengan siren yang kuat menghentikan lalu lintas.

Namun sebaliknya, kelihatan tiga pegawai pengiring yang berada di kerusi penumpang depan kereta Lexus LS dan Toyota Crown mengeluarkan separuh badan pada bahagian tingkap.

Tangan mereka melambai lembut baton lampu agar kenderaan lain memberi laluan untuk konvoi menukar lorong secara serentak. Oleh kerana trafik bergerak perlahan, kereta Perdana Menteri perlu menunggu seketika sebelum dapat mencelah dan memandu ke susur kiri.

Pada situasi kedua (2:51), kenderaan Perdana Menteri sedang mendaki susur berbukit untuk memasuki lebuh raya. Kali ini, siren dibunyikan dan lampu siren dinyalakan untuk memaklumkan kepada pengguna jalan raya lain tentang konvoi yang menghampiri. 

Sekali lagi, lalu lintas tidak dihentikan tetapi hanya baton lampu, siren, wisel, dan signal dinyalakan. Bahkan bunyi siren juga hanya dibunyikan sebentar, sebaik konvoi memasuki laluan lebuh raya bunyi siren dimatikan.

Aliran trafik hanya terganggu kurang daripada lima saat. Bahkan, jika anda perhatikan secara teliti, kereta yang terakhir menyalakan lampu kecemasan sebanyak dua kali untuk memohon maaf atas kesulitan yang berlaku kepada pengguna di belakang.

GUNA SARUNG TANGAN PADA WAKTU SIANG

Selain itu, anda juga boleh melihat video lain ketika kenderaan rasmi Abe melalu jalan raya awam pada waktu siang. Pada siang hari, pegawai pengiring hanya menggunakan sarung tangan putih dan melambai tangan secara lembut menggantikan baton lampu. 

Tangan mereka memberi isyarat kepada kereta lain untuk bergerak dan memperlahankan kenderaan sementara kereta Perdana Menteri memasuki lebuh raya.

Maafkan kami, mohon beri laluan!.

Isyarat tangan sopan meminta pemandu dengan tenang mengurangkan kelajuan kenderaan.

Tolong perlahankan kenderaan..

Pemandu lain patuh dengan arahan berkenaan  dan memperlahankan kenderaan sehingga kereta Perdana Menteri memasuki laluan. Selain itu, boleh juga dilihat pegawai pengiriang mengangkat tangan sebagai tanda terima kasih. 

Kenderaan konvoi sudah memasuki lebuh raya, pegawai pengiring ‘tunduk’ sebagai tanda ucap terima kasih!.

Pendekatan yang digunakan cukup berbeza dan lebih mudah menyertai trafik tanpa mengganggu lalu lintas dan menutup jalan. Cara konvoi memperlahankan trafik dan pemandu yang mematuhi arahan sudah sinonim dengan reputasi masyarakat Jepun yang tertib.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here