Buat kali pertama, Honda Civic varian RS masuk ke Malaysia, lancar tahun hadapan

1965

Honda Malaysia bakal memperkenalkan varian RS buat kali pertama menerusi model Civic generasi baharu untuk pasaran tempatan.

Perkara itu diketahui selepas sesi pengenalan varian berkenaan sempena pandu uji ‘teaser’ Civic baharu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.



Secara jujurnya, penulis sebenarnya tidak suka dengan rekaan untuk Civic baharu ini selepas melihatnya menerusi di internet. Bagaimanapun, selepas melihatnya secara bersemuka, tanggapan penulis itu terus berubah dan ternyata rekaan baharu itu memang cantik.

Sebelum itu, Civic generasi ke-11 itu mempunyai dimensi yang berbeza berbanding sebelumnya. Ia kini lebih panjang 48 milimeter (mm) menjadikan ia 4,678, penambahan jarak roda sehingga 35 mm (2,735 mm) dan ia lebih rendah 1 mm (1,415mm).

Bonet hadapannya juga lebih panjang kira-kira 2 inci, menjadikan penampilannya seakan-akan sebuah jentera Fastback.

Kosmetik Luaran

Selain dengan reka bentuk baharu, varian RS ini nampaknya lebih sporty dengan penggunaan kosmetik tambahan.

Bagi varian ini, ia mungkin menjadi spesifikasi paling tinggi dalam keluarga Civic. Jadi ini kosmetik tambahan yang ada pada varian itu membabitkan:

  • Perumah lampu dengan kemasan hitam
  • Lampu utama dan lampu siang (DRL) berbentuk ‘L’ LED
  • Logo RS di depan dan belakang
  • Rim 18 inci hitam kusam
  • Kemasan Hitam pada cermin sisi, spoiler, antena sirip, pemegang pintu 
  • Peredam ekzos salutan krom

Honda Sensing

Seperti model terdahulu, Civic generasi ke-11 ini juga dilengkapi sistem berkenaan. Cuma bagi model itu mempunyai ciri tambahan baharu iaitu Lead Car Departure Notification System. Ia memberi amaran kepada pemandu pada meter kelajuan sekiranya kereta di hadapan sudah bergerak.

Ia juga mempunyai ciri lain seperti:

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low-Speed Follow (LSF)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Foward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Auto High Bean (AHB)

Enjin Lebih Berkuasa

Bukan sahaja bentuk baharu, enjinnya juga dinaik taraf berbanding sebelum ini. Biarpun masih menggunakan enjin 1.5 liter VTEC turbo, outputnya meningkat sehingga 9PS menjadikan 182PS, manakala tork mencecah 240Nm iaitu peningkatan 20Nm berbanding model terdahulu.

Pada masa sama, ia turut mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport. Ketika menggunakan mod Sport, kuasa yang diberikan cukup bertenaga ketika penulis mengujinya semalam.

Ternyata, prestasi yang dibekalkan cukup bagus berbanding model terdahulu atau model jenama lain dalam segmen sama. 

Sebaik menekan padel minyaknya, kenderaan ini rasa cukup ringan untuk mencapai kelajuan 0-100km/j, selain ia lebih mudah memecut sehingga 160-170km/j di laluan lurus di litar berkenaan.

Pengendalian Dan Kedapan Bunyi

Sebaik menguji Civic generasi baharu ini, boleh dikatakan sangat berbeza dan perasaan itu seolah-olah ia bukan lagi seperti model-model Honda terdahulu. Boleh dikatakan hampir seperti kenderaan jenama Continental. 

Pengendaliannya lebih baik dan kenderaan tidak rasa mahu membuang ketika memandu pada kelajuan tinggi di kawasan selekoh. Bagi kereta standard seperti ini, yang tidak mempunyai modifikasi untuk spesifikasi perlumbaan, ia sebenarnya sudah terlalu baik.

Apa yang penulis perasaan, ruang kabin Civic generasi ke-11 ini lebih senyap berbanding model terdahulu.

Mungkin ini cara falsafah Honda untuk memberi keselesaan kepada penumpang, tetapi pada masa sama memberi pengalaman pengendalian yang ‘sedap’ kepada pemandunya.

Ruang Kabin?

Buat masa ini, penulis dan semua media yang menyertai acara pandu uji itu tidak dibenarkan untuk mendedahkan ruangan dalaman Honda Civic generasi ke-11 ini. Maklumlah, inikan teaser dulu. 

Ciri Keselamatan

Seperti model Honda yang lain, ciri keselamatan menjadi satu daripada ciri penting bagi jenama itu. Bagi Civic baharu itu, ia dilengkapi dengan ciri keselamatan membabitkan Honda LaneWatch, 6 beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Anti-Kunci Brek (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Auto Brake Hold (ABH), Bantuan Pemula Menaiki Bukit (HSA), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan sensor hadapan serta belakang.

Harga Dan Bila Dilancarkan

Buat masa ini, tiada apa-apa pengumuman harga yang dimaklumkan kepada kami. Bagaimanapun, apa yang difahamkan ia mungkin sedikit mahal berbanding model terdahulu.

Honda Civic generasi ke-11 ini akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan dan ia juga sudah dibuka untuk tempahan di pusat pengedar Honda berhampiran anda, jadi apa tunggu lagi!

Galeri Gambar Honda Civic RS

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here