Pasukan Team RX Racing secara rasmi mendedahkan Proton Iriz paling berkuasa di dunia iaitu Proton Iriz RX.
Jentera tersebut bakal dipandu juara British Rallycross Championship (2007), Ollie O’Donovan dalam kejohanan 5 Nation British Rallycross dan semua kejohanan European Rallycross Championship tahun ini.
“Kembali ke kejohanan Eropah turut menjadi sasaran utama projek ini, dan saya tidak sabar memandu di Nyirad, Hungary untuk pertama kali bulan depan dan membuat penampilan antarabangsa pertama Iriz RX ini,” kata O’Donovan.
Jentera tersebut diasaskan daripada kereta rali Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM), dan ditala semula untuk memenuhi spesifikasi FIA RX1 (sebelum ini dikenali sebagai RX Supercar) oleh Tony Bardy Motorsport (TBM).
Berdasarkan spesifikasi RX1 yang ditetapkan FIA, jentera yang bertanding perlu dilengkapi enjin 2.0liter turbo dengan kuasa hampir 600hp, berat sekitar 1,300kg, kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua-roda, dan kit badan lebih agresif dari R5.
Proton Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi.
Kereta tersebut juga sudah menjalani ujian-ujian awal, dan bakal muncul buat pertama kali dikhalayak ramai di hari media dan ujian 5 Nations BRX yang bakal berlangsung pada 14 April di Lydden Hill.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar