Proton: Beli OCH Exora asli, jangan guna kustom atau bukan ori

2408

Pemilik MPV Exora keluaran Proton dinasihatkan agar tidak membeli hos penyejuk minyak (OCH) kustom kerana dibimbangi akan menyebabkan kerosakan lebih teruk.  

Ketua Pengurusan Kandungan Proton, Faisal Shah berkata pembekal OCH alternatif diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan uji kaji komponen keluaran mereka.



“Isu spesifik seperti OCH pada Proton Exora adalah salah satu isu yang sedang diberi perhatian dan kita usahakan untuk selesaikannya. Proton menasihatkan pengguna supaya tidak membeli komponen tidak tulen.

“Bagi Proton Exora yang menggunakan enjin turbo, pihak syarikat masih melakukan banyak aktiviti untuk meningkatkan prestasinya, termasuk menyelesaikan apa-apa isu yang ada seperti OCH,” katanya. 

Tambahnya, selepas beberapa tahun pelancaran Exora enjin turbo, Proton mengenalpasti berlaku kebocoran OCH yang menggunakan material getah sepenuhnya ketika itu.
 

Susulan kejadian itu, Proton menukar OCH kenderaan yang terjejas, melakukan kempen servis dan menukar status hos yang perlu diganti setiap 40,000km. 

“Dan akhir sekali memperkenalkan bahagian baru, iaitu hos separuh besi pada 2018. Ini memanjangkan hayat hos itu kepada 80,000km dan membolehkan ia lebih bertahan pada suhu dan tekanan yang tinggi,” katanya.

Faisal yang mewakili Proton menjelaskan ketidakpuasan hati pemilik Exora yang mendakwa syarikat itu gagal menyelesaikan isu OCH yang kerap pecah dan mendatangkan kerugian. 

Jelasnya, Proton akan panggil balik kenderaan MPV itu, jika terdapat teknologi baharu yang boleh menggantikan OCH berkenaan.

Jika diperhatikan di Kelab Pemilik Exora Malaysia, hampir setiap hantaran ahli berkongsi masalah OCH pecah. 

Kebanyakan pemilik Exora dalam kumpulan itu mendedahkan mereka terpaksa membeli OCH alternatif bernilai sehingga RM1,000 apabila Proton sejak 2011 dikatakan tidak menawarkan penyelesaian. 

Ada juga yang mengeluh terpaksa menunggu lama untuk pusat servis menukar atau menyelesaikan isu OCH dan keadaan itu memaksa pemilik mencari penyelesaian sendiri dengan bantuan mekanik.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

  1. Bila pihak proton akan bertondak untuk menyelesaikan masalah OCH pecah. Kenderaan EXORA turbo yg sy beli belum sampai 3 tahun, telah berlaku 4 kali OCH pecah dan menyebabkan minyak enjin bocor. Kesan kepada geseran enjin tanpa minyak mungkin telah berlaku. Mohon tindakan segera oleh pihak Proton bagi menangani isu ini. Dimana silapnya?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here