Isuzu Malaysia cipta rekod jualan tertinggi D-Max dalam sejarah Mac lalu

1402

Isuzu D-Max mencatatkan jualan tertinggi untuk pasaran tempatan pada Mac 2022, mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak Isuzu Malaysia beroperasi pada 2005.

Isuzu Malaysia mencatatkan 1,233 pendaftaran D-Max terbaru sepanjang Mac, didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini.

Angka baru ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0 liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.



Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, peningkatan serahan dari kilang membolehkan pihaknya memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka. 

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max terbaru mereka.

Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” katanya.

Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit. 

Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan.

Sementara itu, Isuzu Malaysia bakal menerima ketua pegawai eksekutif baharu iaitu Shunsuke Okazoe. Beliau memiliki ijazah undang-undang daripada Universiti Kyushu  dan terbabit dengan perniagaan Isuzu sejak 26 tahun lalu.

Okazoe pernah memikul tanggungjawab di peringkat antarabangsa di Jepun, Amerika, India dan Thailand. 

Beliau memegang beberapa kedudukan dalam lapangan korporat dan perancangan jualan. Beliau menekankan bahawa keutamaannya ketika bertugas di Malaysia adalah untuk memperkukuh rangkaian Isuzu dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here