Pesawat pertama China C919 lengkapkan ujian penerbangan, pesaing baharu Boeing dan Airbus

4607

Kapal terbang China yang pertama C919 melakukan penerbangan pra-penghantaran sulungnya di Shanghai.

Penerbangan itu meletakkan syarikat Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) selangkah lebih dekat untuk menawarkan alternatif pesawat komersial selain Boeing 737 dan Airbus A320.



Pesawat itu melakukan penerbangan pada Sabtu lalu pada jam 6.52 pagi dan kembali semula pada jam 9.54 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai.  

COMAC menjelaskan ujian itu berjalan lancar dan pesawat berada dalam keadaan baik.

“Ini menandakan ujian penerbangan berjaya bagi pesawat C919 sebelum penghantarannya kepada pelanggan pertama. Pesawat menyelesaikan semua ujian terbang yang dijadualkan dan pesawat itu berfungsi dan berada dalam keadaan baik,” kata COMAC.

Kejayaan ujian itu merupakan tanda positif bagi COMAC yang mana pihak syarikat mendakwa menerima 815 tempahan C919 daripada 29 pelanggan seluruh dunia.

Pengurus Besar COMAC, Wu Yongliang sebelum ini memberitahu penghantaran pesawat kepada pelanggan akan bermula 2022.

Pada Mac 2021, China Eastern Airlines, syarikat penerbangan Shanghai menandatangani kontrak untuk membeli lima pesawat C919 pada harga katalog AS99 juta (RM435 juta) sebuah.

Menurut syarikat penerbangan itu, pesawat C919 akan digunakan untuk laluan domestik dari Shanghai ke Beijing, Guangzhou, Shenzhen dan Chengdu.

Pengumuman mengenai pesawat berkenaan dilakukan pada 2011 dan versi prototaip C919  siap pada November 2015 dan terbang pertama kali pada Mei 2017.

Pesawat itu mempunyai jarak terbang antara 4,075 hingga 5,555km dan boleh membawa 158 hingga 168 penumpang berdasarkan susunan kabin.

Pesawat C919 menggunakan enjin CFM LEAP-1C yang dibangunkan oleh General Electric dengan kolaborasi bersama Safran.  Keluarga A320 dan 737 turut menggunakan enjin yang sama.

Bagaimanapun, China berharap dapat menggantikan enjin berkenaan dengan buatan lokal bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing.

Pembangunan pesawat pertama China itu sedikit lewat susulan sekatan Pentadbiran Trump  pada tahun 2020 yang menghalang import barangan seperti kawalan pesawat dan komponen lain.

Menurut penyelidikan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, kira-kira 60 peratus komponen C919 disediakan oleh syarikat Amerika. Jadi, COMAC terpaksa bergantung pada pelesenan khas daripada entiti seperti General Electric dan Honeywell untuk mendapatkan komponen yang dikehendaki. 

Selain masalah politik dan teknikal, syarikat itu juga gagal mendapatkan pensijilan tempatan untuk C919 daripada pihak berkuasa penerbangan China, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), menjelang akhir 2021. COMAC kini mengharapkan pensijilan pada 2022.

China adalah salah satu pasaran penerbangan awam yang paling pesat berkembang di dunia. C919 merupakan usaha berani negara untuk membina pesawat komersial pertamanya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Kejayaan projek itu akan menguntungkan China dari segi kewangan. Ia akan memberikannya keupayaan memecahkan kebergantungan negara pada duopoli yang kini dipegang oleh Boeing dan Airbus.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here