‘Suka-suka’ ubah Kelisa jadi Daihatsu Mira, pemilik disaman JPJ

2067

Tindakan lelaki ‘suka-suka’ mengubahsuai Perodua Kelisa kepada model Daihatsu memakan diri apabila ditahan dalam Op Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, semalam.

Notis arah periksa kenderaan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berusia 30-an itu untuk tindakan selanjutnya.



Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, sebuah kereta Perodua Myvi turut disita kerana gagal memperbaharui cukai jalan sejak dua tahun lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 312 kenderaan diperiksa dalam tempoh dua jam yang mana 121 kenderaan diambil tindakan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Operasi tersebut dijalankan dengan menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

“Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap,” katanya. 

Sebanyak 205 notis dikeluarkan dengan notis P22 iaitu notis arah periksa mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 142. 

“Selain itu, sebanyak 23 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan dan 40 notis di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan,” katanya.

Berdasarkan statistik, JPJ mengeluarkan sebanyak 32,658 saman sehingga Mei lalu berbanding tahun 2021 yang mencatatkan sebanyak 46,586 iaitu pengurangan sebanyak 28.3 peratus. 

Sumber foto: FB JPJ Negeri Perak

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here