JPJ: Ramai kelindan lori tiada lesen memandu

1657

Tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi dalam Ops Tutup yang diadakan di dua lokasi sekitar Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai, malam tadi.

Operasi yang memfokuskan pemeriksaan kenderaan perdagangan selama dua hari itu dijalankan di Plaza Tol Sungai Dua (arah Selatan) dan Plaza Tol Juru (arah Utara).



Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Mat Isa berkata jumlah kesalahan tiada lesen memandu paling tinggi direkodkan iaitu 356 notis diikuti kesalahan teknikal (198) dan berkaitan perlesenan kenderaan (113).

“Kita dapati kebanyakan kelindan lori bukan sahaja tidak mempunyai lesen malah berani menggantikan pemandu utama sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Antara alasan klise yang diberikan adalah terlupa, tiada masa buat lesen dan sebagainya,” katanya. 

Sebanyak 2,490 kenderaan diperiksa dan 445 daripadanya dikenakan tindakan manakala 766 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kita mahu pastikan kenderaan perdagangan yang berada di atas jalan raya layak dipandu dan benar-benar selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Pemeriksaan brek, tayar, enjin, asap dan komponen lain amat dititikberatkan supaya kenderaan berat ini tidak akan rosak di tengah jalan yang dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan lalu lintas,” tambahnya. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here