Hopper buggy elektrik acah Hummer, sekali cas boleh pandu 80km

1052

EXPO SMART NATION dan EVM (2022) bermula semalam sehingga 29 September yang antaranya mempamerkan perkhidmatan capaian 5G,  teknologi ‘Bandar Pintar’, IR4.0 dan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan hibrid. 

Pameran automotif yang berlangsung di Dewan 6 Mitec itu kebanyakannya melibatkan reruai teknologi wallbox pengecasan EV, pengecaman nombor plat menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), aksesori kenderaan dan lain-lain.



Namun, model baharu EV boleh dikira dengan jari. Pada acara berkenaan Motoqar menemui sebuah buggy acah Hummer berwarna putih.

Dibawakan oleh Asia Pacific Sdn Bhd, buggy 4-penumpang itu merupakan tawaran model baharu di pasaran Malaysia.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian kami kerusi belakang sebenarnya mampu memuatkan sehingga lima penumpang bahkan dimensi yang tinggi memberikan ruang kepala yang lapang.

Dijual pada harga RM65,000, Hopper buggy berkenaan disasarkan untuk kegunaan perhotelan dan resort, golf mahupun industri berat bahkan sesuai digunakan oleh pemilik ladang.

Daripada segi penampilan, bentuknya yang berkotak dipadankan dengan lampu utama dengan fungsi pencahayaan tinggi/rendah, lampu kabus, lampu signal dan brek.

Buggy elektrik itu dipacu oleh motor 7kW yang menawarkan kelajuan maksimum 32kmj dengan kemampuan membawa muatan sehingga 350kg. Pengecasan bateri penuh mampu menawarkan perjalanan sejauh 70 hingga 80km.

Pengendalian dilokasi sempit juga mudah dengan radius pusingan 5 meter dan keupayaan mendaki 20 peratus bersama jarak kelegaan tanah 170mm. Daripada segi dimensi, ia memiliki panjang 3,110mm, lebar (1,500mm) dan tinggi (1,720mm)

Bahagian kabin pula tampil ringkas. Di tengah papan pemuka tersedia punat kawalan bagi gear D dan R, lampu kecemasan, lampu kabus dan radio dengan slot MP3. Turut ditawarkan adalah dua pembesar suara dan meter digital.

Keupayaan membrek diserahkan kepada brek cakera hidraulik di bahagian depan dan brek dram di belakang bersama tayar bersaiz 165/70 R14.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih warna kerusi mengikut personalisasi di samping tawaran warna badan Champagne, merah, hijau metalik, biru, putih dan hitam.

Pilihan warna badan juga boleh dikustom mengikut keinginan pelanggan. Sementara itu, material badan adalah jenis plastik PP dan gentian kaca.

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di:  https://t.me/motoqar

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here