Bongkar skim piramid, 9 kenderaan mewah dirampas

814

Sebuah syarikat dikesan menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid menerusi aplikasi dalam talian serta penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dalam satu operasi bersepadu di pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang pada 19 Oktober lalu.



Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

“Seramai tujuh individu terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan ditahan dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan, kami menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan di samping sembilan kenderaan mewah iaitu model BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan mewah milik suspek ,” katanya.

Azman berkata, sebanyak 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM967,720.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu disyaki menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.

“Syarikat itu juga disyaki turut aktif melakukan aktiviti itu di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak,” katanya. 

Kes itu disiasat mengikut subsyeksen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) serta Seksyen 27B akta sama dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here