#RetroAuto: Nama Hayabusa, satu mesej tersirat buat Blackbird

736

Kira-kira 23 tahun yang lalu seorang anak muda terlihat seekor helang melintas laju di depannya.

Kejadian yang berlaku di salah satu hutan Jepun itu memberi inspirasi kepada jurutera muda Suzuki tersebut lalu terhasilnya sebuah jentera yang ‘menggerunkan’ dalam segmen super sport.



Helang merupakan spesies burung yang sering dijadikan sebagai metafora kelajuan kerana kepantasannya dalam memburu mangsa sama ada menyelam ke dalam air atau darat bahkan menyelinap antara pokok pada kelajuan 290 hingga 325kmj.

Karakter itu diterjemahkan ke sebuah jentera milik Suzuki yang dinamakan sebagai Hayabusa bermaksud ‘Peregrine falcon’. Menjadi adat pemasaran, persaingan pasti ada. 

Kalahkan Honda CBR1100XX Super Blackbird

Sebenarnya nama Peregrine Falcon khusus dipilih kerana ia adalah musuh kepada spesies Blackbird. Dalam erti kata lain, pembinaan Hayabusa itu sendiri asalnya untuk menjatuhkan Honda CBR1100XX Super Blackbird sebagai motosikal terpantas dunia. 

Ironinya, Hayabusa berjaya melepasi Super Blackbird dengan kelebihan kelajuan 16kmj dan dengan pantas menarik ramai pengikut setia tersendiri seluruh dunia.

PEMBANGUNAN GENERASI PERTAMA 

Setelah sekian lama sukses sebagai motosikal super sport yang popular di dunia, mengecap kejayaan selaku supersport digeruni, Koji Yoshiura sebagai individu di sebalik tabir Hayabusa mula mendedahkan rahsia motosikal tersebut.

Yoshiura menceritakan bagaimana proses pengembangan enjin generasi pertama Hayabusa pada tahun 1999 agar tercipta sebuah motosikal yang mampu ditingkatkan kelajuannya sehingga 320kmj.

Misinya saat itu menciptakan rekaan baharu yang berbeza dan masih kekal relevan dalam beberapa tahun ke depan dan wajah inilah yang akan menjadi ciri khas Suzuki.

Generasi pertama

Katanya awal perancangan, Hayabusa dibangunkan dengan kapasiti enjin 900 hingga 1100cc dan bukannya 1300cc seperti kini. 

“Dengan menggabungkan antara kelajuan, keselamatan, kekuatan, pengendalian yang baik, dan gaya yang unik, ini menjadi motor tercepat yang pernah dikeluarkan,” katanya.

Malah dirinya juga mengaku ketika itu yang ada dalam fikirannya adalah menghasilkan rekaan unik supaya mudah diingati dan memberi impak kepada peminat motor. 

Misi Suzuki akhirnya tercapai yang mana penjenamaan Hayabusa itu sendiri sudah menjadi simbol sebagai motor terpantas di dunia.

GENERASI

Suzuki Hayabusa dibahagikan kepada tiga generasi. Generasi pertama dikeluarkan pada 1999 hingga 2007. 

Super sport berkenaan menggunakan enjin 1,299cc penyejukkan cecair. Kemudian ia dilengkapi dengan 16 injap yang digerakkan oleh dua aci sesondol atas.

Daripada segi teknologi, konfigurasi tersebut tidak biasa pada zaman itu yang menghasilkan kuasa 173hp @ 9,800rpm dan tork 138Nm @ 7,000 rpm.

Tidak mahu luput begitu sahaja, Suzuki melakukan kemas kini pada 2008 dengan pengenalan enjin berkapasiti 1,340cc empat silinder. Apatah lagi di Eropah, Suzuki Hayabusa dimasukkan ke arena draq.

Hayabusa generasi ketiga tampil dengan perubahan besar termasuk sistem elektronik paling canggih dari Suzuki.

Secara spesifik, enjin 1,340cc Hayabusa mempunyai kuasa 190PS @ 9,700rpm dan tork 150Nm @ 7,000 rpm yang memenuhi piawaian Euro5. 

ENJIN DIGUNAKAN PADA KERETA

Enjin berkuasa Suzuki itu pernah digunakan kereta Sport Westfield Megabusa, berasaskan Lotus Seven. Suzuki ialah pengeluar motosikal pertama memasang enjin pada kereta menerusi dua model konsep pada 2001, iaitu roadster Suzuki GSX-R/4 dan kereta lumba, Formula Hayabusa.

Selain itu, enjin Hayabusa turut digunakan kereta lumba SR1, SR3 dan PR6 oleh Radical Sportscars termasuk menghasilkan enjin 2.8L V8 berasaskan enjin 4-sebaris Hayabusa, dikenali sebagai Powertec RPA V8 yang dipasangkan pada kereta SR8. 

Baca juga >>Suzuki Hayabusa Sport Prototype (HSP) – Kereta guna enjin Hayabusa yang kian dilupakan

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here