PROTON jual 141,432 kenderaan 2022, lancar model baharu tahun ini

584

PROTON mengakhiri 2022 dengan 141,432 unit terjual (domestik dan eksport) selepas mencatatkan 14,750 unit dalam bulan Disember, jualan bulanan yang keempat terbaik untuk tahun lalu.

Berbanding dengan prestasi pada tahun 2021, jumlah jualan meningkat 23.3 peratus walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir, dan kekurangan cip secara global menyebabkan penurunan jumlah jualan untuk empat bulan pertama. 

Sementara itu, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1 peratus dan membolehkan PROTON mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri. 



Secara keseluruhannya, PROTON mengekalkan kedudukannya di tangga kedua di dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6%. 

Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) untuk tahun 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit, satu catatan industri baharu yang tinggi, di samping jualan Disember yang memecahkan rekod. 

Lancar model baharu tahun ini

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, Roslan Abdullah berkata, melihat ke hadapan di tahun 2023, PROTON yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu kami pada tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan menyusut daripada jumlah rekod tahun 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac.

“Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi pada tahun ini akan menjadikan sukar bagi industri automotif untuk terus meningkatkan jualan,” katanya.

Tiga model mengakhiri 2022 sebagai peneraju segmen

Jualan untuk lima daripada enam model PROTON meningkat pada 2022 dengan tiga model mengakhiri tahun 2022 sebagai peneraju segmen. 

Proton X50 terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit di bulan Disember, ia mengakhiri tahun 2022 dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit. 

Mengukuhkan lagi kedudukan PROTON sebagai jenama SUV paling popular ialah Proton X70. Walaupun menghadapi cabaran kuat daripada pesaing baharu, ia mengakhiri tahun dengan 1,787 unit terjual pada bulan Disember dan angka keseluruhan 18,533 unit, meningkat sebanyak 13.1% berbanding tahun sebelumnya. Ini juga memastikan X70 mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris untuk empat tahun berturut- turut. 

Model peneraju segmen yang ketiga ialah Proton Exora, ia mengekalkan cengkaman kukuhnya di pasaran MPV segmen C dengan 4,275 unit terjual pada tahun 2022, meningkat sebanyak 5.9% berbanding tahun 2021. 

Proton Saga terus berpegang pada kedudukannya sebagai penjual terbaik dalam rangkaian kereta PROTON. 5,913 unit dijual pada Disember yang meningkatkan jumlah volum bagi tahun 2022 ke 55,878 unit, peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan meraih kedudukan kedua dalam kedudukan jualan sedan segmen A. 

Kejayaan itu tercapai walaupun Saga adalah model yang paling terjejas akibat banjir pada tahun 2021 yang menyaksikan jualannya berkurangan dengan hanya 76 unit terjual pada bulan Januari. 

Terdapat juga kemajuan positif bagi Proton Persona walaupun menghadapi persaingan sengit dan isu bekalan cip yang menjejaskan bilangan pengeluarannya. 

Sebanyak 2,322 unit dijual di bulan Disember yang meningkatkan jumlah volum bagi tahun ini kepada 16,357 unit, mencapai pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus dan berada di tempat ketiga dalam kategori sedan segmen B. Bagi Proton Iriz pula, ianya terus dibelenggu isu bekalan pengeluaran dan mengalami penurunan jualan sebanyak 14.9 peratus pada tahun 2022.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here