[Video] Polis cari rider tendang pengawal keselamatan perumahan

470

Polis sedang mengesan penghantar makanan yang bertindak menendang pengawal keselamatan di pos kawalan Taman Bukit Meringin di Sungai Ramal Luar, Kajang.

Kejadian berlaku pada 24 Februari pada kira-kira jam 6.30 petang, ketika rider itu berhenti di pos pengawal untuk meminta kebenaran masuk ke taman perumahan berkenaan.



Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana pengawal keselamatan tidak membenarkannya masuk.

“Apabila suspek bertanya rumah nombor tiga di Taman Bukit Meringin, mangsa mengatakan rumah tersebut kosong dan tiada penghuni serta tidak membenarkan suspek masuk.

“Suspek kemudian berang dan tidak puas hati dengan sikap mangsa lalu turun daripada motosikalnya dan menendang mangsa,” katanya. 

Kejadian dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta yang berada di belakang untuk masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Pengawal keselamatan warganegara Nepal tersebut memaklumkan kejadian kepada penyelianya berusia 42 tahun yang kemudian membuat laporan polis pada jam 10.52 malam hari kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh hubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sin Ahmad A’fifi (0197142486) bagi membantu siasatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here