Daihatsu Ayla lancar di Indonesia, harga mula RM39k

1204

Selepas Toyota Agya mengumumkan harga rasmi, kini giliran Daihatsu Ayla pula yang membuat penampilan pertama kali di depan awam di GAIKINDO Jakarta Auto Week (GJAW), Jumaat lalu.

Sama seperti saudaranya Perodua Axia (2023) dan Toyota Agya, Daihatsu Ayla didatangkan dengan platform DNGA-A (Daihatsu New Global Architecture).



Penampilan luaran Daihatsu Ayla (2023) kini lebih moden dan agresif menerusi rekaan rim aloi 14-inci dan lampu depan LED yang dipadankan dengan lampu nyala siang (DRL).

Gril Ayla menampilkan ciri rekaan yang sama seperti Axia, cuma bampar depan sedikit berbeza dengan salur masuk menegak palsu di sisi dengan warna badan. Manakala versi bampar Axia didatangkan dengan kemasan hitam.

Masuk ke kabin, rekaan papan pemuka Ayla sama dengan Daihatsu Rocky (Perodua Ativa) menerusi panel speedometer baharu lebih infomatif dan penyelarasan pendingin hawa digital moden.

Untuk keselesaan, Ayla dilengkapi dengan punat hidup/henti, stereng tilt dan skrin sentuh 7-inci bersama ketersambungan telefon pintar.

DUA ENJIN

Janakuasa Ayla ditawarkan dengan enjin 1.2 liter WA-VE DOHC Dual VVT-i dan 1.0 liter KR-VE DOHC VVT-i bersama transmisi D-CVT atau manual 5-kelajuan.

Enjin 1.2 liter menghasilkan kuasa 67PS @ 6,000rpm dan tork 89Nm @ 4,400rpm manakala 1.0 liter pula menjana output 88PS @ 6,000rpm dan tork 113Nm @ 4,500rpm

Daihatsu Ayla dilengkapi dengan dua beg udara pada kesemua varian, Bantuan Penghidup Bukit (HSA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD).

Jika Perodua Axia ditawarkan dengan empat pilihan varian, Ayla pula didatangkan dengan 5-varian iaitu:

  • 1.0 M (MT): Rp 134 juta  (RM39,153)
  • 1.0 X (MT): Rp 146.9 juta (RM42,922)
  • 1.0 X (CVT): Rp166.9 juta (RM48,775)
  • 1.2 R (MT): Rp164 juta (RM47,928)
  • 1.2 R (CVT): Rp184 juta (RM53,773)

Selain itu, pihak pengedar Indonesia menawarkan pakej Astra Daihatsu Styling (ADS) yang berharga RM1,724 pada semua varian kecuali Ayla 1.0 M.

Pakej tersebut menampilkan gril yang disemak semula dan bampar lebih sporty dengan kemasan hitam berbentuk T bersama lampu LED. Item lain yang disertakan dengan pakej ADS ialah jalur pelekat dan hiasan lampu belakang. 

Berbanding Axia, Ayla tidak menerima fungsi memori pendingin hawa, intsrumen digital dan skrin sentuh 9-inci lebih besar yang ditawarkan pada varian AV.

Ayla juga tidak mendapat enam beg udara, brek kecemasan autonomi, pemantauan titik buta, amaran dan pencegahan keluar lorong, amaran trafik lintasan belakang, yang merupakan standard untuk AV.

GALERI

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here