Kakitangan hospital didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol

526

Seorang penjawat awam di sebuah hospital Ipoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Jazvinjit Singh, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di depan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut pertuduhan, pemandu Honda Civic itu didakwa memandu keretanya dalam keadaan kadar alkohol sebanyak 167mg bagi setiap 100ml darah, iaitu melebihi had yang ditetapkan sebanyak 50mg bagi setiap 100ml darah.



Dia didakwa melakukan kesalahan itu di depan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Jalan Lapangan Terbang di Ipoh pada jam 12.10 tengah malam, 17 Mac 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. M. Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Terdahulu, Moganaraj mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 namun Ranjit memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 ekoran pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah kesalahan pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan Jazvinjit diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali. Tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 3 April ini. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here