Proton jalin kerjasama strategik myTukar, MUV dan CARSOME, memudahkan proses penjualan kereta tukar beli

282

PROTON, memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan tiga Syarikat Pembidaan Dalam Talian (EBC) yang terkenal untuk memudahkan proses penjualan kereta tukar beli untuk pelanggan. 

Dengan perjanjian bersama EBC termasuk myTukar, MUV dan CARSOME, PROTON yakin ia mengambil langkah penting ke arah cara yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan memiliki kereta baharu. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata, kerjasama strategik itu bakal mengubah pengalaman tukar beli untuk pelanggan kami. 



“Dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam platform e-dagang dan bidaan, EBC menawarkan pelanggan kami penyelesaian yang lancar dan boleh dipercayai untuk menjual kereta mereka, sambil turut menerima nilai tukar beli yang kompetitif.

“Kerjasama dengan EBC akan membantu meningkatkan usaha ini serta nilai model kami sambil membantu memudahkan pelanggan yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka,” katanya.

Memandangkan jumlah jualan terus meningkat, keperluan untuk menawarkan cara yang lebih baik untuk menukar dan melupuskan kereta lama pelanggan telah menjadi jelas.

Perjanjian ini dijangka memberikan pelanggan pelbagai faedah, termasuk kemudahan yang dipertingkatkan, kebolehpercayaan, nilai tukar beli yang kompetitif, ketelusan dalam penetapan harga, pembayaran yang selamat dan pemindahan pemilikan, lelongan harian, penjualan yang lebih pantas dan pemeriksaan menyeluruh. 

Kerjasama PROTON dengan EBC membolehkan pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk dilelong melalui platform dalam talian yang mesra pengguna.

Ini mengurangkan keperluan pelanggan untuk melawat berbilang pengedar atau berunding dengan bakal pembeli, menjimatkan masa mereka. 

Melalui sistem lelongan yang adil dan terbuka, pelanggan akan dapat menerima nilai tukar beli yang kompetitif untuk kenderaan mereka.

Model penetapan harga yang telus memastikan pelanggan boleh membuat keputusan termaklum semasa proses tukar beli manakala proses pembayaran dan pemindahan pemilikan dipercepatkan untuk mengurangkan potensi kelewatan atau komplikasi, memberikan pelanggan pengalaman yang lancar. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here