Berapa kos penyelenggaraan Chery Omoda 5? Kami kira untuk anda…..

1687

Minggu lalu, Chery Omoda 5 rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga bermula daripada RM108,800 seunit. 

Model pemasangan tempatan (CKD) itu akan bersaing dengan Proton X50 dan Honda HR-V. 



Bagaimanapun, harga jualan Omoda 5 dan X50 sebenarnya tidaklah begitu jauh berbeza. Maka Chery perlu mengatur strategi pemasaran dan tawaran ciri peralatan lebih baik berbanding pesaingnya.

Selain itu, Chery sudah lama vakum di pasaran dan meninggalkan pemilik terdahulu digantung tidak bertali. Jenama itu perlu bekerja ‘keras’ untuk mendapatkan semula keyakinan pelanggan. 

Sebagai perbandingan harga Proton X50 Flagship adalah RM113,300 manakala varian tertinggi Omoda 5 H pula RM118,800. 

Untuk mendapatkan keyakinan pengguna, Chery Malaysia perlu mengatur strategi pemasaran dań memberikan tawaran lebih baik berbanding pesaingnya.

Salah satunya, jenama asal China itu tidak teragak-agak menawarkan jaminan pengeluar standard 7-tahun atau 150,000km; 5-tahun atau enam kali caj buruh percuma dan waranti enjin 10 tahun atau 1 juta kilometer perbatuan.

Bagaimanapun, tawaran waranti enjin tersebut hanya terhad kepada 3,000 pengguna terawal.

SELANG SERVIS

Sekiranya anda berminat untuk memiliki jenama Chery tersebut, berapa kos penyelenggaraan Omoda 5 yang perlu dikeluarkan setiap selang servis?.

Servis pertama Omoda 5 adalah pada 1,000km yang dilakukan secara percuma dan diikuti selang servis setiap 10,000km.

Di bawah ini kos penyelenggaraan yang kami peroleh daripada Chery Malaysia:

1. Servis 10,000km (RM505.50)

Apabila perbatuan mencapai 10,000km, pemilik perlu mengeluarkan wang sebanyak RM505.50 yang melibatkan penggantian:

  • Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM270
  • Penapis minyak hitam: RM34
  • Pencuci minyak enjin: RM1.50
  • Penapis udara enjin: RM93.75
  • Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
  • Caj buruh: RM100

Sekiranya melakukan servis komponen wajib, kos yang perlu dibayar hanyalah RM405.50. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 50,000km dan 70,000km.

2. Servis 20,000km (RM582.90)

Sebagai persediaan, sebelum perbatuan mencapai 20,000km atau setahun pemilikan, anda perlu menyediakan wang sebanyak RM582.90 yang melibatkan pertukaran:

  • Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM270
  • Penapis minyak hitam: RM34
  • Pencuci minyak enjin: RM1.50
  • Ganti wiper: RM125.75 (cadangan)
  • Penapis udara: RM51.65
  • Penapis udara enjin: RM93.75
  • Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
  • Caj buruh: FOC

Jika pemilik hanya melakukan servis komponen wajib tidak termasuk servis cadangan, kos yang perlu dibayar adalah RM357.15. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 100,000km.

3. Servis 30,000km (RM899.05)

Sebelum mencapai perbatuan 30,000km, anda perlu menyediakan wang sebanyak RM899.05 yang melibatkan pertukaran:

  • Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM270
  • Penapis minyak hitam: RM34
  • Pencuci minyak enjin: RM1.50
  • Selenggara aircon (cuci & tambah gas): RM100 (cadangan)
  • Penapus aircon: RM76.15
  • Palam pencucuh: RM167.40
  • Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
  • Caj buruh: RM150

Sekiranya pemilik hanya melakukan servis komponen wajib, hanya perlu membayar RM622.90. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 90,000km.

4. Servis 40,000km (RM952.90)

Apabila mencapai servis 40,000km atau dua tahun pemilikan, kos akan meningkat menjadi RM952.90. Servis major itu melibatkan pertukaran:

  • Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM270
  • Penapis minyak hitam: RM34
  • Pencuci minyak enjin: RM1.50
  • Minyak CVT 4L: RM320
  • Ganti wiper: RM125.75 (cadangan)
  • Minyak brek 500ml: RM50
  • Penapis udara: RM51.65
  • Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
  • Caj buruh: FOC

Jumlah servis major cuma berharga RM727.15 tanpa melakukan servis cadangan pusat jualan. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 80,000km.

5. Servis 60,000km (RM926.45)

Apabila mencapai servis 60,000km, kos selang servis adalah RM926.45 yang melibatkan pertukaran:

  • Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM270
  • Penapis minyak hitam: RM34
  • Pencuci minyak enjin: RM1.50
  • Ganti wiper: RM125.75 (cadangan)
  • Penapis udara: RM51.65
  • Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
  • Filter aircon: RM76.15
  • Palam pencucuh: RM167.40
  • Selenggara aircon (cuci & tambah gas): RM100 (cadangan)
  • Caj buruh: FOC

Bagaimanapun, jika pemilik tidak bersetuju untuk melakukan servis cadangan tersebut, harga servis yang perlu dibayar hanyalah RM524.55.  

Dalam tempoh lima-tahun pemilikan Omoda 5, kos selang servis adalah RM5,155.45 (kiraan kos komponen wajib). 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here