MyLesen B2 bukan ‘lesen terbang’

493

Program MyLesen B2 bukan satu amalan yang dilakukan seperti sindiket lesen terbang apabila setiap penerima manfaat itu wajib mengikut prosedur pembelajaran dan ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tiada sebarang keistimewaan atau jalan mudah diberikan kepada peserta program itu apabila mereka perlu menghadiri kelas, latihan di litar dan ujian JPJ.

Menurutnya, pengambilan lesen Mylesen B2 mengikut undang-undang meskipun kos bagi tujuan itu sebanyak RM300 ditanggung oleh kerajaan.



“Setiap peserta yang terpilih akan membuat lesen memandu kelas B2 secara percuma. Setakat ini, sebanyak 9,000 kumpulan sasar yang menikmati manfaat program tersebut yang telah dilancarkan pada Mei lalu.

“Golongan B40 yang terdiri daripada penerima bantuan e-Kasih, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah merupakan kumpulan sasar yang dipilih. Program itu turut memberi manfaat kepada 900 peserta pelbagai peringkat umur di Kelantan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasbi memberitahu, proses pelaksanaan Program MyLesen B2 dijalankan bermula daripada peserta mengambil lesen L sebelum menduduki kelas pemanduan di litar dan ujian.

Katanya, peserta terlibat akan dibimbing oleh akademi memandu sehingga lulus dan berjaya mendapatkan lesen B2 dan ia tidak sama seperti mengambil lesen terbang.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here