JPJ: Kalau peserta RX-Z Member datang dalam keadaan standard kita tak kacau

739

Jabatan Pengangkutan Jalan Terengganu (JPJ) sita 126 motosikal atas pelbagai kesalahan sepanjang sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat negeri Terengganu termasuk peserta Himpunan RX-Z Member 5.0.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, tidak timbul isu pukat-memukat sempena Himpunan RX-Z Member 5.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, yang berakhir semalam.



Menurutnya, motosikal yang disita melakukan pelbagai kesalahan modifikasi antaranya menggunakan ekzos paip, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tiada langsung nombor pendaftaran.

Katanya, terdapat juga motosikal yang disita yang mana nombor casis (body) sudah diganggu dan sekiranya serius, JPJ akan merujuk kes itu ke pihak kimia bagi menentukan kesahihan nombor asalnya.

“Kalau ia melibatkan motosikal yang dilaporkan dicuri, kita akan serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya mereka (peserta RX-Z Member 5.0) datang dalam keadaan standard (asal) kita tidak kacau tetapi mereka (segelintir) datang dengan memperlihatkan seolah-olah mencabar undang-undang.

“Terlalu ekstrim, dengan ekzos bising (paip), nombor plat (pendaftaran) tidak mengikut spesifikasi (kecil) atau langsung tiada,” katanya semalam. 

Menurutnya, apabila nombor pendaftaran kecil atau tiada langsung, mereka mudah melakukan sebarang kesalahan kerana kamera papan pemuka kenderaan yang merekodkan kesalahan tidak dapat dianalisa.

Katanya, kesalahan yang direkod papan pemuka kenderaan awam yang dihantar kepada JPJ sukar mengenalpasti pemilik motosikal.

Beliau berkata, ia seolah-olah menunjukkan peserta program berkenaan memperagakan kesalahan dengan nyata kepada pihak penguat kuasa.

Menurutnya, mereka sendiri yang tarik penguatkuasa untuk mengambil tindakan dan perbuatan itu jelas mempunyai niat melanggar undang-undang jalan raya.

“Oleh itu, tiada isu pukat-memukat kepada peserta dan jumlah motosikal yang disita jauh lebih rendah berbanding 40,000 peserta yang hadir.

“Kita memang terbabit dalam mesyuarat bersama penganjur dan meminta mereka mengenakan pematuhan tinggi bagi peserta.

“Untuk kesalahan peserta RXZ Member, kita sita 126 motosikal yang melakukan kesalahan plat kecil, tiada lesen memandu, memandu bawah umur dan motosikal diubahsuai secara ekstrim.

“Kita melaksanakan undang-undang bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan tiada isu yang perlu dibangkitkan oleh mana-mana pihak membabitkan program berkenaan,” katanya.

Menurutnya, OKM dijalankan bermula 1 hingga 30 September depan, bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here