Pemilik Tesla Model 3 dilema mahu ganti bateri baharu berharga RM56k atau jual kereta

3461

Pemilik Tesla Model 3 Dual Motor Long Range mengalami dilema yang serius apabila dia perlu menggantikan bateri kereta selepas tiga tahun dan mencapai perbatuan 241,000km.

Tambahan, waranti juga telah tamat. Pilihan yang ada bagi pemuda itu sama ada menggantikan pek bateri yang bermasalah dengan kos USD12,000 (RM56,118) atau menjual keretanya pada harga  USD16,000 (RM74, 824).



Pemilik yang menggunakan nama Which-Chemical-2691 di Reddit, meminta pandangan warga maya membantunya membuat keputusan.

Dia berkongsi membeli Tesla Model 3 berkenaan pada September 2020 dan menggunakan kereta elektrik (EV) tersebut secara maksimum. 

Malangnya, baru-baru ini dia menerima notifikasi “Had cas dan jarak perbatuan dikurangkan, mohon servis segera – OK untuk memandu”.

Tidak lama selepas itu, dia mendapat panggilan daripada wakil perkhidmatan Tesla, mencadangkan penggantian bateri tidak lama lagi kerana isu ‘pelbagai sel haus dan lusuh serta hampir kehabisan’.

Status kesihatan bateri pada masa ini berada pada 81 peratus, tetapi sel yang haus boleh mengehadkan keupayaannya untuk mengecas, bermakna dia perlu menggantikan bateri sekiranya ingin terus menggunakannya.

Pek bateri Tesla Model 3

Oleh kerana jaminan sudah tamat,  kos penggantian bateri adalah RM56,118 yang mana terlalu mahal kerana dia masih memiliki baki hutang USD 20,000 (RM93,530).

Membaiki sel bateri yang rosak di bengkel EV ketiga sebenarnya boleh menjimatkan kos, tetapi ia boleh menjejaskan keserasian kenderaan dengan rangkaian supercas Tesla.

Pemilik berusia 23 tahun itu juga menyatakan menerima tawaran daripada penjual kereta terpakai untuk membeli Model 3 itu pada harga RM74k.

Bagaimanapun, dia tidak memberitahu bakal pembeli tentang isu bateri tersebut kerana notifikasi akan hilang selepas dicas. 

Selepas menerima pelbagai pendapat, di ruangan komen pemilik berhasrat untuk menjual Tesla Model 3 dan menggantikannya dengan Toyota Prius hybrid terpakai yang boleh didapati pada harga serendah USD4,000 (RM18,706).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here