Lebuhraya WCE Seksyen 11 akan dibuka bermula esok

186

Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan mula dibuka bermula esok pada jam 12.01 pagi. 

Seksyen tersebut menghubungkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Changkat Jering ke Beruas, Perak. 



Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata pembukaan Seksyen 11 tersebut akan menyempurnakan keseluruhan jajaran WCE di negeri Perak.

“Jajaran Seksyen 11 terdapat lintasan hidupan liar di laluan lebuhraya ini, yang dibina khas merentasi Hutan Simpan Bubu khusus untuk memastikan ekosistem binatang-binatang liar kekal terpelihara.

“Ia sepanjang 35.5km dan mempunyai dua persimpangan, iaitu Persimpangan Trong dan Persimpangan Taiping Selatan,” katanya.

Pembukaan Seksyen 11 WCE tersebut dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas hanya 20 minit, berbanding 55 minit menggunakan laluan sedia ada.

Sekaligus menawarkan penjimatan kos bahan api bagi perjalanan pengguna dari selatan Perak ke Selangor, sebagai alternatif kepada Lebuhraya PLUS dan mengurangkan kesesakan terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah.

LEBUHRAYA WCE SIAP 93 PERATUS

WCE merupakan lebuhraya yang menghubungkan Changkat Jering, Perak ke Banting, Selangor dengan panjang 314.5km.

Projek tersebut secara keseluruhan meliputi 11 seksyen iaitu tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak.

Sehingga kini, dua seksyen di Selangor dan tiga seksyen di Perak telah dibuka kepada pengguna, dengan purata trafik harian mencecah sebanyak 70,000 kenderaan.

Lebuhraya itu melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di Perak, dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam, dan Banting di Selangor.

Sehingga kini projek pembinaan telah siap lebih daripada 93 peratus dan dalam masa terdekat WCE bakal membuka dua lagi seksyen di Selangor, iaitu Seksyen 1 (Banting ke SKVE) dan Seksyen 2 (SKVE ke SAE). 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here