
UMW Toyota Motor (UMW Toyota) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyenarai pendek 30 buah sekolah dalam Toyota Eco Youth (TEY) 2025 daripada lebih 120 penerimaan penyertaan.
Setiap 30 buah sekolah yang terpilih turut menerima geran RM3,000 bagi memulakan projek lestari yang bakal memberi impak dan bukan sekadar peningkatan kesedaran.
Presiden UMW Toyota, Datuk K. Ravindran berkata dengan falsafah ‘Move Your World’, pelajar dilatih bukan hanya menyelesaikan isu alam sekitar semasa, malah diasah untuk menjadi peneraju dalam mencipta perubahan dalam komuniti yang mampan.
“Melalui platform Toyota Eco Youth, kami berasa amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini, menyaksikan bagaimana mereka memacu perubahan ke arah masa depan yang lestari dan membawa impak jangka panjang,” katanya.
Peserta TEY digilap dengan Kaedah Penyelesaian Masalah 8 Langkah (PSM) yang mana peserta akan diasah untuk berfikir secara kritis dalam merangka penyelesaian realistik.
Selepas penilaian projek di lokasi, hanya 15 buah sekolah terbaik akan mara ke peringkat akhir dengan saingan diteruskan menerusi pembentangan dan pameran untuk merebut hadiah utama.