
GAC Aion Hyptec HT versi pemanduan kanan dipertontonkan pada acara Malaysia Autoshow (2025) yang berlangsung sehingga 15 Mei ini di MAEPS, Serdang.
Dibawakan oleh Warisan Tan Chong Automotif, difahamkan SUV elektrik itu bakal lancar ke pasaran tempatan pada suku ketiga tahun ini.
Bagaimanapun negara jiran Indonesia dan Thailand sudahpun melancarkan model berkenaan di pasaran masing-masing.
Buat masa ini spesifikasi rasmi Hyptec HT pasaran tempatan masih belum didedahkan yang mana Warisan Tan Chong Automotif mempamerkan dua versi bukaan pintu penumpang belakang iaitu secara tradisional dan ‘gullwing’ acah Tesla.
Sebagai perbandingan pasaran Thailand menampilkan motor elektrik tunggal yang dipasang di belakang (RWD) dengan kuasa 335hp dan tork 430Nm. Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 5.8 saat dengan kelajuan maksimum 183kmj.
Kemudian ia dipadankan dengan bateri LFP 83.3kWh yang mana menggunakan pengecasan pantas 280kW hanya mengambil masa 15 minit bagi isian bateri 10 hingga 70 peratus.
Bahagian dalam pula menampilkan panel instrumen 8.8-inci dan skrin hiburan 14.6-inci bersama kemasan Nappa pada kerusi dan sistem bunyi 22 pembesar suara Dolby Atmos bersama bumbung panorama.
Daripada segi dimensi, EV itu memiliki panjang 4,935mm, lebar (1,920mm) dan tinggi (1,700mm) bersama jarak roda 2,935mm.
Bakal bersaing dengan Xpeng G6 dan Tesla Model Y, berapakah harga Aion Hyptec HT apabila dilancarkan di Malaysia?…
ARTIKEL LAIN