
Segmen motosikal dual-sport yang selama ini didominasi oleh jenama Jepun bakal dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu daripada pengeluar China, iaitu QJMotor SRT 300 DX.
Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah kembar kepada Africa Twin berdasarkan unit lampu utama berkembar dan dimensi yang agak tinggi.
Namun, pendekatan bahasa rekaan tersebut telah digunakan oleh QJMotor sebelum ini menerusi kerjasama dengan MV Agusta untuk model ADV Lucky Explorer.
Berbalik semula kepada model SRT 300 DX, ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 292.3 cc menghasilkan 29 hp pada 9,000 rpm dan daya kilas 26.6 Nm pada 7,000 rpm.
Ini memberikan kelebihan dari segi kuasa jika dibandingkan dengan Honda CRF300 Rally (27.3 hp/26.6 Nm).
SRT 300 DX mendapat tetapan rim 21 inci depan dan 18 inci belakang yang dibaluti tayar CST, dan menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 274 mm.
Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik di depan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 10 liter, sementara pelana pula setinggi 890 mm.
Satu ciri unik yang wujud pada motosikal ini ialah ciri quick-release untuk roda hadapan yang dapat membantu memudahkan urusan pengangkutan jentera ini untuk aktiviti hujung minggu.
Di pasaran China, QJMotor SRT 300 DX dijual pada harga sekitar 31 ribu yuan (kira-kira RM18 ribu).