
Hyundai Motor Malaysia (HMY) rasmi memperkenalkan generasi kelima, Hyundai Santa Fe serba baharu ke pasaran tempatan pada harga :
- Hyundai Santa FE HEV Prime : RM225,000
- Hyundai Santa FE HEV Prestige : RM245,000
- Hyundai Santa FE 2.5T Calligraphy : RM270,000
Pasaran tempatan didatangkan dengan pilihan enam tempat duduk bagi varian tertinggi Calligraphy manakala dua varian lagi adalah tujuh kerusi.
Varian Prime dan Prestige menggunakan enjin 1.6 liter turbo TGDi hibrid yang menghasilkan kuasa 180PS @ 5,500rpm dan tork 265Nm @ 1,500-4,500rpm dengan pacuan roda dua (2WD).
Janakuasa itu dipadankan dengan motor PMSM (44.2kW/264Nm) bersama bateri jenis litium ion dan kotak gear 6-kelajuan automatik.
Manakala varian tertinggi dilengkapi dengan enjin 2.5 liter T-GDi berkuasa 281PS @5,800 rpm dan tork 422Nm @ 1,700-4,000 rpm bersama kotak gear 8-kelajuan DCT dan pacuan empat roda (4WD).
SUV asal Korea Selatan itu menampilkan profil SUV yang berani dan tinggi dengan bentuk teguh dan moden. Ia kemudian dipadankan dengan rekaan lampu LED bentuk H di depan dan belakang.
Bukaan pintu belakang lebar merupakan yang terbesar dalam keluarga Hyundai dan berfungsi sebagai ruang teres terbuka untuk mengisi barang dengan mudah dan aktiviti luar.
Penampilan luaran diserlahkan dengan gril kemasan krom, rak bumbung bersepadu untuk utiliti dan pemegang bantuan jenis tersembunyi untuk memudahkan akses ke bumbung.
Masuk ke dalam, Santa FE didatangkan dengan skrin gabungan kluster instrumen digital 12.3 inci dan sistem hiburan yang melengkung.
Elemen rekaan H masih diteruskan pada bahagian papan pemuka dan kemasan krom pada corong pendingin hawa. Selain itu ciri peralatan lain yang ditawarkan adalah dulang sanitasi UV-C yang pertama dalam kelasnya dan dua pengecasan tanpa wayar yang pertama dalam Hyundai.
Demi ketenangan minda pemilik, Hyundai menawarkan bantuan pemanduan termaju yang dikenali sebagai Hyundai SmartSense melibatkan Bantuan Elak Rempuhan Titik Buta, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Kawalan Cruise Pintar dengan Henti & Gerak, Bantuan Elak Rempuhan Lintas Trafik Belakang, Bantuan Keluar Selamat dan Bantuan Lampu Tinggi.
Varian Prime pula didatangkan dengan ciri tambahan misalnya Bantuan Elak Rempuhan Hadapan (FCA 1.5) dengan pengesanan membelok pejalan kaki dan penunggang basikal.
Varian Prestige dan Calligraphy pula dilengkapi dengan Bantuan Elak Rempuhan Hadapan (FCA 2.0) dengan keupayaan termaju seperti pengesanan langsung kenderaan di depan, pengelakan pertukaran lorong, bantuan stereng pemandu dan bantuan ambil alih stereng.