Pemandu van Nissan maut tersepit antara treler dan lori

59

Seorang pemandu van warga emas maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, petang Selasa. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.19 petang itu, mangsa berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit hampir sejam di dalam van jenis Nissan yang dipandunya.

Kemalangan turut melibatkan sebuah lori treler dan lori tiga tan.

Penolong Penguasa Bomba, Mohd Iskandar Ismail, selaku Komander Operasi berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari dengan bantuan BBP Ayer Keroh bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

“Sebaik tiba, pasukan menemui dua mangsa tersepit, masing-masing dalam lori tiga tan dan van.

“Mangsa pertama, lelaki berusia 40 tahun berjaya dikeluarkan pada jam 3.05 petang dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa yang tersepit dalam van berjaya dikeluarkan pada jam 3.22 petang namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Operasi menyelamat membabitkan 14 anggota bomba serta bantuan daripada polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.43 petang.

ARTIKEL LAIN

#TahukahAnda: Walaupun kelajuan rendah, momentum treler masih mampu tolak kereta depan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here