
BYD Malaysia baru sahaja memuat naik iklan acah dengan angka 6, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa model seterusnya untuk pasaran tempatan ialah BYD Seal 6 EV.
Di China model ini dikenali sebagai Seal 06 EV dan jika benar bakal menjadi tambahan penting dalam barisan kenderaan elektrik (EV) BYD di Malaysia dan berada di bawah Seal dari segi harga dan saiz.
EV baharu, lebih kecil daripada Seal
Seal 06 EV ialah sedan elektrik yang dilancarkan di China pada Jun 2025 dengan harga bermula 109,800 yuan (sekitar RM65 ribu) hingga 129,800 yuan (sekitar RM77 ribu).
Dari segi saiz, Seal 06 EV lebih pendek berbanding Seal standard:
- Panjang 4,720 mm (-80 mm)
- Lebar 1,880 mm (+5 mm)
- Tinggi 1,495 mm (+35 mm)
- Jarak roda 2,820 mm (-100 mm)
Prestasi & Teknologi
BYD Seal 06 EV dibangunkan atas platform e-Platform 3.0 Evo dan hadir dengan dua pilihan bateri LFP.
- Bateri 46.08 kWj dengan motor elektrik belakang 110 kW (150 PS) / 220 Nm, jarak CLTC 470 km, pengecas pantas DC 84 kW.
- Bateri 56.6 kWj dengan motor elektrik belakang 160 kW (218 PS) / 330 Nm, jarak CLTC 545 km, pengecas pantas DC 103 kW.
- Kedua-dua varian RWD mampu mencapai kelajuan maksimum 160–180 km/j.
Sistem bantuan pemanduan DiPilot 100 yang dikenali sebagai God’s Eye C membolehkan fungsi Navigate on Autopilot di lebuh raya, parkir automatik dan Autonomous Emergency Braking.
Varian tertinggi pula ditawarkan dengan sistem DiSus-C atau Cloud Chariot-C untuk kawalan suspensi pintar.
Bahagian dalam menampilkan skrin maklumat hibur bersaiz 12.8 inci atau 15.6 inci yang boleh diputar.
Kluster instrumen digital berukuran 8.8 inci memberikan maklumat pemanduan yang jelas. Stereng tiga jejari digabungkan dengan pemilih gear yang dipasang pada kolum stereng.
Terdapat dua pad pengecasan tanpa wayar 50W untuk kemudahan mengecas peranti.
Sistem pendingin hawa dua zon dilengkapi dengan penapis PM2.5 untuk kualiti udara yang lebih baik.
Seal 06 turut menampilkan bumbung panoramik yang menambahkan rasa ruang dan keselesaan dalam kabin.
Seal 06 DM-i
Di China, Seal 06 turut ditawarkan dalam model sedan dan wagon (estate) dengan teknologi plug-in hybrid Super DM.
Selain China, pasaran luar seperti Eropah sudah pun menerima versi DM-i sedan dan Touring.
Model DM-i ini mempunyai kelebihan dari segi jarak sehingga 1,505 km (sedan) dan 1,350 km (wagon).
Jika benar Seal 06 EV dibawa masuk, ia akan mengisi kekosongan di antara Atto 3 dan Seal sekali gus menawarkan EV lebih mampu milik kepada pengguna tempatan.
Sumber: BYD Malaysia, PaulTan, CarNewsChina