
Sudah empat tahun berlalu sejak Volvo mengumumkan perancangan untuk menjadi jenama EV sepenuh masa menjelang akhir dekad ini.
Disebabkan permintaan yang tidak menentu, Volvo terpaksa mengabaikan perancangan tersebut, dan menyasarkan 90-100 peratus jualan terdiri daripada model plug-in hybrid (PHEV) dan EV.
Namun begitu, Volvo masih percaya teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) bakal menghampiri penghujungnya.
Dalam temubual oleh Bloomberg, CEOnya Hakan Samuelsson menjelaskan, “Keseluruhan industri akan menjadi elektrik – tidak akan berpatah balik.
“Ia mungkin akan mengambil masa yang lebih lama di sesetengah tempat, namun arah tuju adalah jelas. Dalam masa 10 tahun lagi, semua kereta akan menjadi elektrik dan kos yang lebih rendah.
Ini merupakan satu kenyataan yang cukup berani, apatah lagi Volvo pada ketika ini sedang berdepan dengan penurunan angka jualan bagi model EV sepanjang tempoh tahun 2025.
Dalam masa lapan bulan pertama, Volvo hanya menjual 90,326 unit EV, atau penurunan sebanyak 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Jualan model plug-in hybrid juga turun satu peratus kepada 107,380 unit, sementara model enjin tulen dan hibrid ringan turun tujuh peratus kepada 253,376 unit.
Berdasarkan angka tersebut, kebanyakan pelanggan Volvo lebih cenderung untuk model kenderaan yang masih dilengkapi dengan enjin petrol serta bantuan hibrid.
Tidak semua pengeluar mempunyai pemikiran yang sama seperti Volvo. BMW seperti contoh mahu terus menghasilkan enjin pembakaran dalaman manakala Mercedes pula percaya industri bakal runtuh sekiranya pengharaman enjin pembakaran dalaman diteruskan pada tahun 2035.