Semua penumpang kereta akan wajib pakai tali pinggang keledar

9

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata keutamaan JPJ ketika ini ialah melaksanakan advokasi pemakaian tali pinggang keledar tanpa mendedahkan tarikh mula penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar tersebut. 

Jelasnya, pelancaran kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan jalan raya dan menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna kenderaan iaitu pemandu dan penumpang kenderaan.

“Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini.

“Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya. 

Individu yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM300 berdasarkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (pindaan 2019).

Berdasarkan kajian Insititut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pemakaian tali pinggang keledar berupaya dalam mengurangkan risiko kematian penumpang kenderaan hingga 50 peratus sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam hal ini, pemakaian tali pinggang keledar akan memastikan pemandu dan penumpang kekal duduk di tempat duduk sekiranya kemalangan berbanding yang tidak memakai tali pinggang keledar yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk tercedera,” katanya. 

ARTIKEL LAIN

Bahayanya penumpang belakang tanpa tali pinggang keledar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here