
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang menolak motosikalnya meredah banjir, lapor Bangkok Post.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1 pagi di Jalan Praekasa, daerah Muang, Thailand.
Menurut polis daerah Muang, mangsa dikenali sebagai Thanakorn Naksutin yang berasal dari Lop Buri didapati terbaring di atas kaki lima di sebelah motosikal Honda Click yang tersandar pada penghadang konkrit di zon pembinaan.
Saksi memberitahu, mangsa menolak motosikalnya meredah air banjir semasa dalam perjalanan pulang apabila sebuah trak pikap memecut laju dan menghasilkan ombak yang menyebabkannya hilang keseimbangan.
Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik oleh arus hidup dari talian elektrik yang mengalir sepanjang penghadang.
Pasukan penyelamat tidak dapat mendekati mangsa sehingga pihak berkuasa tempatan memutuskan bekalan elektrik ke tempat kejadian.
Pihak polis akan menyiasat dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kontraktor yang didapati bertanggungjawab meletak dan memasang kabel elektrik di atas penghadang tersebut.































