
Ini satu berita menarik yang dilaporkan Mekanika. Setelah kejayaan memperkenalkan motosikal naked mampu milik CFLite 250NK pada Mei lalu, yang dijual pada harga RM9,888, CFMOTO Malaysia kini dilaporkan bakal membawa masuk model baharu.
Menurut laporan tersebut, CFMOTO Malaysia dijangka akan melancarkan CFLite 250DUAL untuk pasaran tempatan pada bulan Disember ini.
Berbeza dengan 250NK yang memiliki rekaan motosikal naked, model 250DUAL ini hadir dengan ciri motosikal lasak dan versatil, yang dilihat mampu memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Pelancaran di Mexico City pada awal September lalu menyaksikan dua model sekaligus iaitu CFLITE 230DUAL dan CFLITE 250DUAL diperkenalkan kepada media dan pengedar.
Berbeza dengan CFLITE 250DUAL, CFLITE 230DUAL dilengkapi enjin 230cc yang menggunakan karburator dan sejukan udara.

Spesifikasi dan Ciri-ciri CFLite 250DUAL (Mexico)
CFLite 250DUAL dikuasakan enjin satu silinder 249.2cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair.
Enjin ini mampu menjana kuasa maksimum 24hp pada 8,000rpm dan tork puncak 22.5Nm pada 7,000rpm.
250DUAL menggunakan suntikan bahan api elektronik (EFI) bagi prestasi yang lebih optimum dan cekap.

Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri lain, termasuk:
- Tangki bahan api berkapasiti 13 liter.
- Cakera brek hadapan 265 mm dan cakera brek belakang 220 mm.
- Sistem pencahayaan LED penuh.
- Rim jejari (spoke) dengan tiub.
- Port pengecasan USB Type-A.
- Meter digital LCD.
- Brek ABS dwi-saluran yang didatangkan secara standard.
- Fork hadapan jenis terbalik.
- Terdapat dalam tiga pilihan warna: Lime Green, Tundra Grey dan Polar White.

Bagi melengkapkan statusnya sebagai motosikal dual-purpose, CFLite 250DUAL menggunakan rim berukuran 21 inci di hadapan dan 28 inci di belakang.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal (monoshock) di bahagian belakang.
Konfigurasi ini menawarkan jarak kelegaan tanah (ground clearance) sekitar 245 mm, menjadikannya lebih mudah merentasi pelbagai permukaan jalan.
Berat keseluruhan motosikal ini pula adalah 154kg.

































