Ducati Scrambler Nightshift 2026 memukau dengan Emerald Green baharu

16

Ducati Scrambler Nightshift, ikon dalam keluarga Ducati Scrambler, kini lebih menarik untuk model tahun 2026 dengan pengenalan warna Emerald Green (Hijau Zamrud) baharu.

Skema warna baharu ini direka oleh Pusat Rekaan Ducati, yang mengambil inspirasi ikon sukan permotoran dua dan empat roda yang popular pada era 1970-an.

Reka Bentuk Klasik dan Dinamik

Sejak diperkenalkan, Nightshift mewakili sisi paling elegan dan klasik bagi siri Ducati Scrambler.

Ini terbukti melalui perincian  seperti tempat duduk berjahit dalam gaya Café Racer , serta selang seli bahagian badan yang berkilat dan kusam (matt).

Pada masa yang sama, elemen reka bentuk lain menonjolkan watak dinamik motosikal ini. Ia termasuk plat nombor sisi, fender depan yang minimal, ketiadaan fender belakang dan lampu penunjuk LED yang kompak.

Kontras yang dihasilkan oleh roda berjejari yang sepenuhnya berwarna hitam menyerlahkan imej rugged Nightshift.

Gaya Café Racer disempurnakan lagi dengan hendal rata dan cermin pandang belakang hujung hendal.

Rangkaian Kuasa Desmodue L-Twin

Nadi kepada Scrambler Ducati generasi baharu ialah enjin Desmodue L-Twin berkapasiti 803cc yang menjana 73 ps pada 8,250 rpm dan 65.2Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin penyejukan udara dengan agihan Desmodromik dua injap per silinder dilengkapi dengan klac lapan plat baharu yang menawarkan operasi yang lebih lancar.

Klac yang lebih kompak ini juga membolehkan pengurangan saiz sisi penutup dan menawarkan lebih ruang untuk kaki penunggang.

Selain itu, Scrambler Ducati baharu telah diringankan secara keseluruhan sebanyak 4 kg, menjadikannya lebih mudah dikendalikan dan ditunggang.

Sistem pengurusan pendikit Ride by Wire membolehkan karakter motosikal diubah melalui dua Mod Tunggangan sambil memberikan keyakinan menunggang hasil Kawalan Cengkaman Ducati.

Untuk keselamatan tambahan, motosikal ini dilengkapi ABS Cornering yang penting untuk meningkatkan keselamatan penunggangan dalam pelbagai keadaan.

Skema warna Emerald Green baharu yang menggantikan warna sedia ada, dijangka akan mula tersedia di pasaran Eropah pada Oktober 2025.

Harga jualan bermula dari GBP11,495 (kira-kira RM65,191).

Spesifikasi Utama Ducati Scrambler Nightshift

  • Jenis Enjin: L-Twin, agihan Desmodromik, 2 injap per silinder, penyejukan udara
  • Sesaran: 803 cc
  • Gerek x Lejang: 88 x 66 mm
  • Nisbah Mampatan: 11:1
  • Kuasa: 73 ps @ 8,250 rpm
  • Tork: 65.2Nm @ 7,000 rpm
  • Sistem Bahan Api: Suntikan bahan api elektronik, badan pendikit 50 mm dengan sistem Ride-by-Wire
  • Kotak Gear: 6 kelajuan
  • Berat Basah (Tanpa Bahan Api): 182 kg
  • Ketinggian Tempat Duduk: 795 mm (Boleh diubah kepada 810 mm dengan aksesori tempat duduk tinggi atau 780 mm dengan aksesori tempat duduk rendah)
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 14.5 l
  • Kelengkapan Keselamatan: Riding Mode, Power Mode, ABS Cornering, Ducati Traction Control
  • Peralatan Standard: Paparan warna TFT 4.3 inci, sistem pencahayaan LED penuh, penunjuk belok LED, soket USB di bawah tempat duduk, cermin pandang belakang hujung bar, lampu isyarat membelok LED Ducati Performance, fender depan sporti, plat nombor sisi, ekor sporti, pelana dan warna khusus, roda berjejari
  • Sedia Untuk (Aksesori Tambahan): Ducati Multimedia System, Ducati Quick Shift

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here