30 anak tempatan tenaga mahir lokal pertama ECRL

169

Sebanyak 30 anak muda Malaysia sanggup meninggalkan kerjaya lama demi mencari cabaran baharu sebagai penolong pemandu lokomotif sekali gus menjadi tenaga mahir tempatan pertama dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Antara mereka ialah Steven Liu, 28, V. Paarthibann, 29, dan Mohamad Zulfaqar Mohamad Forzan, 35, yang telah mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China selama tiga minggu pada November lalu.

Steven yang sebelum ini bekerja dalam bidang sumber manusia di ibu pejabat projek ECRL, berkata beliau tekad menceburi bidang itu kerana minat terhadap kereta api sejak kecil meskipun tiada pengetahuan mendalam.

“Saya memang bermula dari kosong dan cabaran sudah tentu agak besar kerana saya tiada pengetahuan tentang kereta api. Saya kuatkan semangat untuk belajar dengan banyak bertanya dan berusaha memahami apa yang diajar oleh penyelia (Huang Ming Yong).

“Sejak kecil saya sangat meminati kereta api walaupun Terengganu tiada kemudahan itu. Keluarga saya sering membawa saya menaiki pengangkutan awam seperti LRT (Transit Aliran Ringan) di Kuala Lumpur.

“Dari situ timbul minat saya terhadap konsep kereta api, reka bentuk serta cara ia beroperasi,” katanya. 

Jelasnya, dia  turut diberi tanggungjawab sebagai ketua kumpulan dalam program itu, selain menguruskan hal ehwal rakan sekerja termasuk kehadiran dan urusan cuti.

DARI KAPAL KE KERETA API

Sementara itu, bekas pegawai pemeriksa kapal, Paarthibann berkata beliau tidak merasakan perubahan ketara untuk bekerja sebagai penolong pemandu lokomotif selain menganggap berkhidmat dalam projek mega negara itu sebagai satu peluang keemasan.

“Sebelum ini saya bekerja dalam sektor maritim, berurusan dengan kapal asing dan dokumen antarabangsa, cuma industrinya berbeza daripada laut kepada rel sahaja.

“Setiap pengalaman kerja ada cabaran harian tersendiri, jadi saya anggap ini peluang untuk saya dapatkan lebih banyak pengalaman dalam pelbagai bidang,” katanya.

Menceritakan pengalaman mengikuti program itu, pemuda asal Kuala Lumpur itu kagum dengan budaya kerja tenaga pengajar dari China yang sangat menitikberatkan disiplin, ketepatan masa dan kualiti.

Paarthibann berkata sebagai kumpulan perintis, mereka bukan sahaja dilatih untuk menguasai kemahiran teknikal, malah dipersiapkan untuk melatih generasi seterusnya.

Bagi Zulfagar pula, keputusan menyertai program itu hadir selepas mencuba nasib melalui iklan yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Berkelulusan sarjana muda kejuruteraan mekanikal dan berpengalaman bekerja sebagai juruteknik serta penyelia di sebuah syarikat telekomunikasi, beliau melihat peluang menjadi penolong pemandu lokomotif itu sebagai cabaran baharu dalam kerjayanya.

“Ramai kata belajar pada usia 35 agak sukar tetapi saya pegang kata-kata penyelia saya, ‘kalau tidak pandai kita boleh belajar tapi kalau malas memang tidak boleh ubah diri’.

“Jadi saya anggap semua ini peluang untuk mengasah kemahiran baharu,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata penolong pemandu lokomotif itu akan mendapat latihan praktikal mengendalikan lokomotif elektrik (e-Loco) canggih ECRL yang dijadualkan beroperasi secara komersial bermula Januari 2027 bagi tujuan pengangkutan kargo sepanjang jajaran ECRL.

“Sebanyak 12 unit e-Loco dan 1l set tren EMU enam gerabak telah diperoleh untuk perkhidmatan kargo dan penumpang ECRL masing-masing. Dua unit pertama e-Loco serta dua set pertama tren EMU enam gerabak dijangka tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here